Ia bakal menempatkan 12 lokasi pengecasan di enam stesen minyak Shell yang terletak di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), bagi menawarkan kemudahan pengecasan kepada para pemilik EV yang membuat perjalanan antara Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Menerusi kerjasama ini, enam buah stesen minyak Shell akan dipasang dengan kelengkapan pengecasan arus terus (DC) 180 kW yang boleh digunakan untuk mengecas EV sehingga 180 kW, atau dua buah kenderaan sekaligus pada kadar 90 kW setiap EV.
Setakat ini, ia akan dijalankan secara berperingkat dengan empat buah stesen sedia untuk digunakan menjelang separuh kedua tahun ini, dan dua buah lagi stesen pada separuh pertama tahun 2022.
Negara jiran Singapura kini mempunyai sehingga 18 buah Shell Recharge 50 kW dan 87 pusat pengecasan umum Greenlots, dan dengan pengenalan jaringan pengecasan baharu ini, ia akan menambah lokasi pengecasan untuk para pemilik EV, termasuklah fasiliti pengecasan berprestasi tinggi 175 kW sedia ada di kesemua Porsche Centre di Malaysia.
Dengan menggunakan pengecasan 180 kW Shell Recharge, ia mampu mengecas bateri Porsche Taycan dari sifar ke 80 peratus dalam masa 30 minit sahaja, dan memberikan jarak operasi sejauh 390 km (data WLTP).
Selain daripada itu, Shell juga turut memberikan manfaat tambahan kepada pemilik Porsche untuk 'menempah' slot pengecasan terlebih dahulu menggunakan aplikasi mudah alih dan menikmati harga istimewa untuk pembelian makanan dan minuman di kedai Shell Select.
Shell berazam untuk memperluaskan lagi jaringan pusat pengecasan EV ke 500,000 buah stesen minyaknya diperingkat global menjelang tahun 2025, dan kerjasama dengan Porsche ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Shell untuk mempercepatkan transformasi menjadi pembekal produk tenaga sifar emisi.