Penulis sendiri sudah pun menguji kereta elektrik yang baharu sahaja dilancarkan di negara kita, dan sememangnya hampir tiada sebarang bunyi bising enjin pun yang mampu menerjah ruang kabin, selain daripada deru angin serta ekzos mat rempit.
Untuk para pemilik yang mahukan kereta elektrik (baca: Porsche Taycan) menghasilkan bunyi kenderaan tersendiri, usah risau kerana Porsche kini menawarkan opsyen yang dimaksudkan.
Dinamakan sebagai Electric Sport Sound, Porsche menambah bunyi khas seiring dengan pergerakan motor elektrik yang boleh didengari di luar serta dari dalam kabin.
Menurut Porsche, ciri Electric Sport Sound ini mampu diaktif serta dinyahaktif menerusi Porsche Communication Management (PCM) selepas pemilik memutuskan untuk membayar opsyen yang ditawarkan tadi.
Porsche turut menyediakan sampel bunyi untuk anda dengari, dan buatlah keputusan yang bijak kerana opsyen bunyi ini sahaja berharga kira-kira $500 (RM2,093 mengikut kadar pertukaran matawang semasa).
Anda boleh cuba dengar menerusi pautan di bawah: