Porsche Taycan 2022 dikemaskini dengan warna olskool, pengecasan yang lebih pantas

oleh Mohamad Hanif|
Antara kelebihan yang ada pada trenkuasa elektrik adalah sistem yang lebih ringkas, di mana kebanyakan masa penambahbaikan boleh dilakukan dengan hanya melalui kemaskini perisian sahaja.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01

Untuk model tahun 2022, Porsche Taycan (dan juga Taycan Cross 2022) kini didatangkan dengan penambahbaikan terhadap sistem pengurusan haba, fungsi pengecasan, serta ciri Turbo Charging Planner yang membolehkan sistem bateri bervoltan tinggi 'dipanaskan' terlebih dahulu untuk membolehkan pengecasan pantas dilakukan dengan lebih awal dan kadar pengecasan yang lebih tinggi.

Selain daripada itu, pembaziran tenaga haba yang dihasilkan daripada komponen elektrik boleh dikurangkan di mana ia boleh digunakan untuk kawalan suhu bateri.

Untuk kemudahan kegunaan seharian, Porsche menawarkan perkhidmatan yang dinamakan sebagai Porsche Charging Service dengan akses mudah kepada hampir 200,000 poin pengecasan di lebih 20 negara di Eropah, termasuk 6,500 buah stesen pengecasan DC 50 kW.
 

Taycan


Dengan Porsche Destination Charging, pelanggan juga boleh mengecas kenderaan elektrik (serta PHEV) tanpa sebarang bayaran di lokasi popular seperti hotel, restoran, lapangan terbang, pusat membeli belah, serta pelabuhan di lebih 50 buah negara.

Sesebuah EV tidak perlu hadir dengan warna tipikal yang membosankan, oleh sebab itu Porsche kini menawarkan lebih banyak pilihan warna, termasuk warna-warna ranggi yang pernah ditawarkan pada model klasik Porsche.

Selain daripada 17 warna standard, pelanggan Porsche boleh memilih pakej Paint to Sample dengan tambahan 63 warna eksklusif termasuk Moonlight Blue Metallic, Acid Green, Rubystone Red dan Riviera Blue, sementara Paint to Sample Plus pula memberikan kebebasan penuh kepada pelanggan untuk memilih apa jua warna yang diingini.
 

Taycan


Antara teknologi moden yang diterapkan pada model Taycan adalah Remote Park Assist di mana anda boleh menyeru Taycan daripada slot parkir tanpa perlu duduk di belakang stereng, dengan hanya menggunakan arahan menerusi aplikasi peranti pintar Porsche Connect.

Sistem infohibur Porsche Communication Management yang dimuatkan pada Taycan sejak pengenalannya itu kini menawarkan integrasi peranti pintar Android Auto bersama-sama Apple CarPlay, manakala bantuan suara Voice Pilot pula kini mampu memahami arahan dengan lebih baik.

Sistem navigasi satelit pula kini mampu melakukan pengiraan dengan lebih pantas dan baik, selain memaparkan hasil carian dan informasi dengan lebih jelas.