Porsche Taycan Cross Turismo jalani ujian hampir satu juta kilometer!

oleh Mohamad Hanif|
Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum pelancaran rasmi, Porsche telah mendedahkan beberapa informasi penting berhubung program pengujian Porsche Taycan Cross Turismo.

Tidak seperti sangkaan umum di mana Porsche Taycan Cross Turismo hanyalah sekadar Taycan sedan yang diberikan bentuk wagon, model tersebut sebenarnya telah pun menjalani ujian yang cukup ekstensif bertempat di litar lumba terkenal - Nurburgring dan litar Grand Prix Hockenheim, laluan yang sukar di selatan Perancis dan pergunungan bersalji Pyrenees, serta trek Safari untuk cabaran off-road di Afrika.

 


Menurut Porsche, Taycan Cross Turismo telah pun menjalani ujian sejauh kira-kira 998,361 km, dan boleh dikatakan model prototaip ini telah pun mengelilingi bumi sebanyak 25 kali sekiranya diukur di garisan khatulistiwa.

Selain daripada itu, model dengan pelekat samaran itu telah pun berkunjung ke lima pasaran terbesar Porsche: Amerika Syarikat, UK, Norway, Netherlands dan Jerman, selain menjalani ujian tambahan selama 325 jam di dalam terowong angin, melengkapi ujian selama 1,500 jam yang ditempuh oleh Taycan sedan.

Porsche Taycan Cross Turismo membawakan kekuatan yang terdapat pada model sedan seperti casis dengan sistem pacuan semua roda dan suspensi udara yang boleh dilaras, ia juga menampilkan kelebihan tersendiri seperti ruang kepala yang lebih luas untuk penumpang belakang, dan ruang kargo yang lebih besar.
 


Menurut wakil Porsche Stefan Wechbach menjelaskan, "Cross Turismo memiliki keupayaan untuk menghamburkan prestasi tinggi di atas litar, serta berupaya untuk menempuh laluan sukar seperti jalan berlumpur dan kerikil.

"Ia bukanlah sebuah kenderaan off-road yang 'hardcore', akan tetapi memiliki keupayaan untuk menyerang laluan yang tidak berturap dan laluan off-road yang ringan.

Porsche Taycan Cross Turismo akan dilancarkan 4 Mac 2021, jam 11.00 malam waktu Malaysia.

 

 

Berita Berkenaan

Pelancaran
Dikategorikan sebagai cross utility vehicle (CUV), Porsche Taycan Cross Turismo membawakan bentuk…
Berita Global
Keupayaan tersebut dibuktikan lagi menerusi video terbaharu yang diterbitkan oleh pengeluar…
Berita Domestik
Hari ini, pihak Porsche Malaysia menerusi Sime Darby Auto Performance telah mengumumkan pembukaan…