Melihatkan kepada potensi yang ditunjukkan oleh kereta elektrik Porsche, Prior Design tidak membuang masa lagi lantas melancarkan kit badan yang tersendiri untuk model Porsche Taycan itu.
Malah, syarikat tersebut turut mengiktiraf Taycan sebagai 'platform paling sempurna buat kenderaan yang ditakdirkan untuk ditala'.
Berdasarkan imej yang diberikan, Prior Design telah menambah kit badan lebar bagi menampilkan imej yang lebih agresif kepada Taycan, ditambah pula dengan pemasangan sayap belakang yang cukup besar.
Terima kasih kepada penambahan kit badan tersebut (dengan bukaan ruang udara tambahan), Porsche Taycan Prior Design kini 60 mm lebih lebar di hadapan, dan 100 mm di bahagian belakang.
Fender yang lebar tersebut diserikan dengan pemasangan skirt sisi, serta set rim bersaiz 22 inci. Tidak ketinggalan, terdapat diffuser pada kedua-dua bumper bagi memberikan penampilan stance yang lebih rendah.
Menurut Prior Design, kesemua komponen yang ditawarkan boleh dihasilkan menggunakan bahan karbon berkualiti tinggi, manakala bagi mereka yang mahukan kereta low profile, pakej kit badan yang 'kurang dramatik' juga turut ditawarkan.