Kereta elektrik Taycan yang dilancar pada 2020 satu daripada penyumbang kejayaan Porsche dan 1,805 buah diserahkan kepada pelanggan pada 2023.
Taycan berada di belakang Cayenne di tempat pertama dengan serahan sebanyak 4,335 buah. Angka jualan Taycan melambangkan kejayaan sebuah kereta sport elektrik.
Pakar dari Sonderwunsch (tempahan khas) Porsche Exclusive Manufaktur menghasilkan model ini dengan kerjasama Porsche Korea dan bahagian reka bentuk Style Porsche.
Taycan Turbo dijadikan kanvas untuk mempamerkan budaya tradisional Korea.
K-Edition diasaskan dari Taycan 2024 yang telah dinaik taraf dan memiliki lebih kuasa, pecutan lebih baik, jarak lebih jauh dan pengecasan lebih laju dan stabil.
Kuasa yang dihasilkan setinggi 650 kilowatt (884 ps) dan menggunakan Launch Control boleh dipecut dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 2.7 saat.
Keunikan K-Edition terletak pada logo yang diilhamkan dari bentuk cap mohor Diraja dengan nama Taycan dieja menggunakan huruf tradisional Korea.
Pereka Style Porsche turut menggabungkan litar lumba dalam bentuk abstrak. Logo itu dicat dengan tangan oleh pakar di Sonderwunsch dalam warna hitam kilatan tinggi.
Selain penutup port pengecasan bahagian pemandu, logo tersebut juga ditayangkan pada penyandar kepala kerusi dan pemegang kunci kulit.
Warna yang ditawarkan tidak terhad kepada Ruby Red Metallic seperti di dalam gambar.
Ada empat lagi pilihan khas Paint to Sample iaitu Oak Green Metallic, Ipanema Blue Metallic, Macadamia Metallic dan Alex Grey.
Lagi ciri khas seperti logo Porsche warna kusam pada bawah pintu, logo hitam pada tiang B dan logo Porsche Exclusive Manufaktur warna Turbonite.
Selain perincian tersebut, sisi kereta menyerlah dengan rim aloi Mission-E 21 inci dalam warna Turbonite dan bilah warna Hitam Satin. Nampak seperti bilah yang terapung.
Bahagian dalam kereta dibaluti kulit Olea Club dan pelanggan ditawarkan dua pilihan mengikut warna badan.
K-Edition Ruby Red Metallic, Ipanema Blue Metallic atau Alex Grey menggunakan tema Basalt Black. Oak Green Metallic dan Macadamia Metallic pula dengan kulit Truffle Brown.
Skema kerusi juga unik dengan jaluran Atacama Beige, Basalt Black dan Truffle Brown. Atacama Beige turut diguna pada tali pinggang keledar dan tanda tengah atas stereng.
Belum lengkap, sulaman Atacama Beige dibuat pada panel pintu, panel meter dan konsol tengah dan pertama kali untuk Taycan.
Logo Porsche Exclusive Manufaktur pada laci simpanan dan Taycan K-Edition warna Turbonite turut menyerlahkan konsol tengah.
Suluhan logo warna putih pada permukaan jalan melalui lampu projektor LED dari kesemua pintu menaikkan seri kereta pada waktu malam.
Alas kaki warna hitam dengan riasan kulit club, Atacama Beige dan logo Porsche warna Turbonite menunjukkan lagi keistimewaan Taycan K-Edition yang tiada pada model lain.
Penulis: Muhammad Md Tajudin