Porsche World Roadshow 2021 Malaysia - peluang merasai 911 GT3 kali pertama

oleh Mohamad Hanif|
Porsche Malaysia menerusi Sime Darby Auto Performance menutup tirai tahun lalu dengan menganjurkan acara Porsche World Roadshow 2021.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Acara yang berlangsung selama beberapa hari ini memberikan peluang bukan sahaja kepada para pengamal media, akan tetapi terbuka kepada pelanggan-pelanggan Porsche yang berpotensi untuk merasai pengalaman sebenar memandu jentera-jentera pantas ini.

Turut diperlihatkan buat kali pertama adalah Porsche 911 GT3 generasi baharu yang dilancarkan pada bulan November 2021, dengan harga jualan bermula dari RM1.8 juta.

Berikut merupakan sedikit sebanyak input yang penulis berjaya peroleh sepanjang seharian berada di Litar Sepang tempoh hari.

 

1. Cayenne masuk offroad


Para pengamal media dibahagikan kepada beberapa kumpulan, dan Careta merupakan antara yang pertama untuk merasai pemanduan off-road, di dalam sebuah Cayenne!

Sukar untuk mendapat peluang sebegini.
 

Cayenne


Sebelum kami 'mengotorkan' Cayenne yang cantik berkilat itu, tenaga pengajar menunjukkan kepada kami cara untuk menukar mod pemanduan, selain menetapkan ketinggian casis pada tahap yang tinggi, sesuai dengan sifat jalan yang bakal kami tempuhi.

Dalam seksyen ini, kami diberikan peluang untuk memandu Cayenne atas jalan off-road yang benar-benar tidak seimbang (sampai terangkat Cayenne dibuatnya), cubaan menurun dan mendaki cerun menggunakan kawalan elektronik, serta memandu di lereng bukit dalam keadaan Cayenne senget sebelah.

 

2. Macan GTS layan trek


Selain daripada membelasah Cayenne di atas Litar Sepang, kami juga turut diberikan peluang untuk merasai buat kali pertama Macan GTS yang kemudian dilancarkan secara rasmi pada awal Januari yang lalu.

Atas kertas, Macan GTS didatangkan dengan nadi 2.9 liter V6 turbo berkembar dengan kuasa setinggi 440 PS, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat.

Pemanduan Macan GTS, meskipun dengan badan crossover, ia masih lagi tajam ketika dibelasah atas litar Sepang.

Anda tidak akan merasa tidak puas hati tatkala berada di belakang stereng crossover ini. Ia cukup berkuasa, masih lagi stabil di selekoh, dan kuasa pemberhentian yang boleh dipercayai.

Senang cerita, kami memang tidak puas hati sebab masa yang diberikan agak singkat, kerana kami perlu beralih kepada sesi berikutnya.

 

3. Taycan, pecutan berelektrik


Rasanya, tidak perlu kami perkenalkan kepada anda, sebab sudah beberapa kali kami mencuba sendiri pecutan motor elektrik yang ditawarkan pada model Taycan ini.

Amaran, anda perlu pastikan jantung anda berkeadaan baik sewaktu menguji pecutan Taycan ini.

Terutama sebelum menggunakan mod Launch Control. Jangan kata kami tak payung.

 


Satu perkara yang penulis cukup kagum, walaupun ini merupakan kereta elektrik pertama Porsche tanpa sebarang enjin pembakaran dalaman, ia masih lagi rasa DNA sebuah Porsche.

Respons stereng sememangnya rasa direct, tajam dan berat, dan terus terang penulis akui ia merupakan salah satu kenderaan elektrik yang memang seronok sekali untuk dipandu secara serius, atau santai setiap hari.

Cuma harganya.. Hmmm..

Dan penulis sebenarnya agak terkilan kerana tidak sempat merasai pemanduan di dalam Taycan Cross Turismo. Takde rezeki nampaknya.

 

4. Peluang memandu sebuah 911 GT3, tidak dapat dilupakan


Porsche 911 GT3 generasi baharu telah pun rasmi mendarat di Malaysia, dan menariknya Porsche Malaysia turut menawarkan versi transmisi manual kepada para pembeli.

Cuma sayang sekali, di Litar Sepang kami hanya diberikan versi automatik sahaja, namun ia bukanlah penghalang buat kami untuk merasai kehebatan sebenar jentera berlencana GT3 ini.

Dari awal pemanduan, anda boleh merasai sendiri betapa 'hardcore'nya 911 GT3 ini, baik dari segi ketegaran casis, respons stereng, pengendalian di selekoh, serta pecutan di jalan yang lurus.
 

911


Ditambah pula dengan runut bunyi yang mengasyikkan datangnya dari arah belakang, membuatkan pemanduan lebih mengujakan.

Kerusi jenis bucket sememangnya memegang erat pemandu terutama sewaktu melayan selekoh yang panjang di Sepang.

Biarpun sekadar pemanduan yang santai dilakukan (dan satu pusingan di Litar Sepang), ini merupakan satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Lokasi itu terletak di dalam kawasan ladang sawit berhampiran dengan sebuah kampung yang terletak…
Berita Global
Secara teknikal, Taycan Turbo GT menghasilkan 777 HP dan 1,339 Nm, namun ia boleh dipertingkatkan…
Berita Global
Namun tahukah anda, menjelang tahun akhir produksi model tersebut, Porsche membuat keputusan untuk…