PPKJR - Sistem pengangkutan awam masih tidak efisien untuk laksana caj kesesakan lalu-lintas

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata kebarangkalian caj kesesakan lalu-lintas akan dilaksanakan bagi mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya dan meningkatkan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur.

Cadangan tersebut menerima pelbagai pandangan dari orang ramai dan Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri berkata, saranan mencari formula yang lebih efektif dan mesra alam bagi mengurangkan kesesakan lalu-lintas di ibu kota selain memastikan mutu pengangkutan awam berada pada tahap terbaik.

Usaha tersebut penting sebelum kerajaan mempertimbang untuk melaksanakan caj kesesakan.

Antara saranan beliau adalah, meningkatkan mutu pengangkutan awam termasuk mengambil kira masa menunggu yang tidak terlalu lama serta kekerapan jadual perjalanan dikaji semula.

Selain itu, keutamaan perlu diberikan  kepada penambahbaikan infrastruktur jalan raya. Keadaan jalan berlubang dan beralun turut menyumbang kepada kelancaran lalu-lintas yang perlahan serta boleh menyebabkan kemalangan, menurut beliau lagi.

Mengulas lanjut, Jamil berkata, sistem pengangkutan awam negara masih tidak efisien, tidak konsisten dan belum mencukupi untuk menampung keperluan pengguna serta pertambahan penumpang ketika ini.

Antara cadangan beliau adalah bagi langkah terbaik jangka pendek boleh dipertimbangkan adalah dasar bekerja dari rumah (WFH) bagi sektor awam dan swasta, kemudahan bilik mesyuarat di terminal pengangkutan awam dan penyelarasan waktu nyalaan lampu isyarat di bandar.

Selain itu, boleh dipertimbangkan dasar waktu bekerja anjal (Flexible Working Hours) serta memperkenalkan sistem laluan berjadual harian di seluruh Lembah Klang.

"Kempen sehari tanpa kenderaan setiap minggu turut boleh dianjurkan sebagai usaha mendidik masyarakat menggunakan pengangkutan awam," katanya.

Jamil turut mencadangkan kerjasama antara pengendali pengangkutan awam dan agensi kerajaan serta swasta dalam menawarkan insentif menarik kepada kakitangan masing-masing dan orang awam.

"Antara insentif yang boleh ditawarkan termasuk pas bermusim dengan tambang murah, insentif bonus tahunan berdasarkan kekerapan perjalanan menggunakan pengangkutan awam serta penambahan perkhidmatan bas pengantara (feeder bus) di kawasan perumahan.

"Majikan juga boleh memberi subsidi atau insentif pembelian motosikal sebagai galakan kepada pekerja menggunakan motosikal ke tempat kerja," katanya.

Selain itu, katanya, masyarakat perlu memanfaatkan teknologi aplikasi seperti GPS, Waze atau Google Maps untuk mengetahui keadaan trafik sebelum memulakan perjalanan.

"Penggunaan teknologi ini dapat membantu perancangan perjalanan yang lebih selesa dan memilih laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan jalan raya.

"Langkah tegas seperti dilaksanakan di Singapura yang mewajibkan penggunaan pengangkutan awam di bandar raya mungkin boleh dipertimbangkan di Kuala Lumpur sebagai permulaan," katanya.

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Informasi
Data-data dari sesetengah bandaraya dunia itu kini telah mula muncul dan kita lihat kejayaan dan…
Berita Domestik
"Buat masa sekarang (caj kesesakan) belum lagi sesuai (dilaksanakan di Johor Bahru) sebab kita…
Berita Domestik
"Tetapi kerajaan juga tidak mahu caj berkenaan menambah beban pengguna jika diletakkan terlampau…