Prasarana akan guna KPI baharu pantau operasi LRT, MRT

oleh Mohamad Hanif|
Sistem indeks prestasi utama (KPI) baharu akan digunakan oleh Prasarana Malaysia Berhad dalam usaha untuk memastikan operasi Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) berjalan dengan lebih baik.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Laporan Bernama memetik Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyebut, KPI baharu itu akan dinamakan Ukuran Kilometer Sebelum Kegagalan (MKBF).

Ia merupakan satu pendekatan yang akan digunakan untuk menilai kestabilan dan perjalanan tren sebelum kerosakan berlaku.

Jelasnya, KPI itu yang bersifat terbuka, akan dipapar dan dikemas kini secara bulanan di laman web dan media sosial Prasarana untuk makluman serta penilaian orang awam, bermula bulan depan.

“Sekarang kita mengalami satu situasi yang tidak memuaskan, MKBF untuk laluan LRT Kelana Jaya adalah 150,000 (kilometer), iaitu kadar kerosakan berlaku dalam kadar 150,000 kilometer perjalanan tren... itu angka yang tidak memuaskan.

“Jadi sasaran MKBF kita menjelang suku tahun ketiga 2026 ialah satu juta, iaitu kerosakan tren hanya akan berlaku selepas satu juta kilometer perjalanan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Kakitangan Prasarana di sini hari ini.

Loke berkata sasaran itu akan dicapai secara berperingkat, dan beliau yakin perkhidmatan tren akan bertambah baik susulan penambahan gerabak baharu mulai Ogos ini.

“MKBF juga merujuk kepada gangguan teknikal melebihi lima minit...maksudnya kalau ada kelewatan atau gangguan tren lima (minit) ke atas, dikira sebagai satu kerosakan dan akan dinilai melalui MKBF,” katanya.

Beliau berkata selain itu, laporan jumlah penumpang, faktor perjalanan, kemudahan ekskalator dan lif juga akan dipaparkan secara terbuka menerusi laporan mingguan di platform sama.

Sumber: Bernama