Prasarana belanja RM2.8 bilion untuk tambah baik perkhidmatan bas, tren

oleh Mohamad Hanif|
Sejumlah RM2.8 bilion akan dibelanjakan oleh Prasarana Malaysia Sdn Bhd bagi menambah baik perkhidmatan tren dan bas di bawah kendaliannya.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Menurut laporan Bernama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, perbelanjaan yang disediakan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan itu meliputi keseluruhan perkhidmatan pengangkutan awam di bawah kelolaan Prasarana susulan permintaan tinggi dalam kalangan warga kota.

"Jika dilihat penambahbaikan yang diperlukan, kami perlu menggantikan alat-alat secepat mungkin serta menambah bilangan tren yang tidak mencukupi buat masa ini,” katanya dalam program ‘Jendela Fikir: Membina Pengangkutan Awam Bersama’ terbitan Bernama Radio yang disiarkan pada Isnin.

Jelasnya lagi, Prasana tidak terkecuali terkesan dengan masalah rantaian bekalan di peringkat global disebabkan oleh pandemik COVID-19.
 

LRT


Ia turut mengakibatkan kelewatan penerimaan alat ganti yang diperlukan bagi tren laluan Kelana Jaya yang kini sering mengalami gangguan perkhidmatan.

Difahamkan, laluan Kelana Jaya yang sudah berusia hampir 25 tahun itu seharusnya ditambah baik sepenuhnya pada tiga atau empat tahun lepas, namun penambahbaikan hanya dapat dibuat bagi laluan Ampang sahaja.

"Bagi laluan Kelana Jaya ini pada tiga, empat tahun yang lepas tidak dapat dinaik taraf secara menyeluruh dan (saya) akui terdapat kelemahan daripada aspek penyelenggaraan bagi laluan ini, tetapi solusinya, saya telah mendapat kebenaran daripada lembaga pengarah dan Kementerian Kewangan untuk menaik taraf laluan berkenaan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, Prasarana memulakan penambahbaikan sejak pandemik bermula pada 2020 bagi meningkatkan jumlah pengguna perkhidmatan awam yang semakin berkurangan.
 

bas


Secara purata, jumlah penumpang harian adalah sebanyak 720,000 orang pada tahun 2022, terdiri daripada 520,000 penumpang rel dan hampir 200,000 penumpang bas.

Sebagai perbandingan, jumlah penumpang harian sebelum pandemik mampu mencecah sehingga 1.2 juta orang.

"Oleh itu, dengan penambahbaikan yang kini sedang giat dijalankan sama ada bagi perkhidmatan rel atau bas, kami menjangkakan dapat meningkatkan jumlah penumpang kepada tahap sebelum pandemik,” katanya.

Sumber: Bernama melalui Astro Awani

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kerjasama tersebut telah dirasmikan melalui oleh anak syarikat mereka, iaitu Prasarana Integrated…
Informasi
Perkongsian melibatkan hak perjanjian Hak Penamaan Stesen antara redONE dan Prasarana adalah untuk…