Prasarana jangka 1.2 juta penumpang harian tahun ini susulan pembukaan penuh MRT laluan Putrajaya

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Prasarana Malaysia Bhd mengunjurkan peningkatan purata penumpang harian di seluruh perkhidmatan rel dan basnya kepada 1.2 juta pada 2023 berbanding 772,000 tahun lepas berikutan pembukaan sepenuhnya Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya pada Mac.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, ia dianggarkan memanfaatkan sebanyak 100,000 penumpang pada setiap hari untuk tahun pertama ia dibuka sepenuhnya dan dijangka meningkat tahun ke tahun.

 

"Pembukaan sepenuhnya Laluan Putrajaya akan menjadi satu kejayaan penting bagi Prasarana pada tahun ini," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

 

MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu sepanjang 17.5 kilometer (km) dilancarkan pada 16 Jun 2022 yang terdiri daripada 12 stesen.

 

Keseluruhan Laluan Putrajaya akan merangkumi 57.7km yang terdiri daripada 36 stesen dari Kwasa Damansara ke Putrajaya, meliputi kawasan berkepadatan tinggi seperti Bandar Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Persiaran KLCC, Kuchai Lama, Seri Kembangan, Cyberjaya, dan Putrajaya.

 

gambar hiasan

 

Ketika ditanya mengenai tarikh pembukaan fasa dua, beliau berkata ia akan diumumkan oleh kontraktor dan pemaju rel, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).

 

"Anak syarikat Prasarana, Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali dan MRT Corp sebagai pemilik aset, pada masa ini menjalankan ujian menyeluruh terhadap perkhidmatan itu," katanya.

 

Mohd Azharuddin menjelaskan, ia adalah satu daripada prasyarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk menguji serta mengukur keberkesanan sistem tersebut sebelum kelulusan untuk dibuka sepenuhnya akan diberikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

 

"Prasarana sebagai pengendali rel akan mengambil alih tugas selepas MRT Corp menyerahkan aset ini kepada kami," katanya.

 

Beliau juga berkata pembukaan sepenuhnya MRT Laluan Putrajaya akan menawarkan peluang yang lebih baik kepada perniagaan kecil dan pemilik industri, sebagaimana yang dapat dilihat menerusi penyambungan rangkaian Transit Aliran Ringan (LRT) ke Putra Heights.

 

Mengulas selanjutnya mengenai fokus pada 2023, beliau berkata Prasarana berhasrat untuk meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan terutamanya bagi sistem rel.

 

Sehubungan itu, beliau berkata pengguna pengangkutan awam boleh mengharapkan pergerakan waktu puncak yang bertambah baik susulan kekerapan tren ditingkatkan kepada tahap yang boleh diterima.

 

"Mengenai LRT Laluan Kelana Jaya, kebanyakan tren di laluan itu sedang menjalani program pemeriksaan dan baik pulih khas," katanya sambil memaklumkan hanya tren yang sesuai dan selamat akan dilepaskan untuk beroperasi.

 

Beliau berkata melalui penambahan tren baharu, kekerapan tren akan ditingkatkan kepada tiga minit pada September 2023 manakala bagi MRT Laluan Kajang, kekerapan waktu puncak akan ditingkatkan kepada empat minit pada Ogos tahun ini.

 

"Ia adalah hasil daripada penggantian roda yang progresif mulai Jun 2022 hingga Disember 2024 berikutan kerosakan pada roda yang lebih awal daripada dijangka," katanya.

 

Mohd Azharuddin berkata kekerapan KL Monorail pula akan ditingkatkan kepada lima minit pada suku keempat tahun kewangan 2023.

 

"Sejak 23 Mei 2022, kita telah menggunakan tren empat gerabak dalam perkhidmatan. Usaha itu yang diteruskan pada tahun ini akan menyumbang kepada kecekapan tinggi serta kebolehpercayaan yang lebih baik," katanya.

 

-- BERNAMA

Berita Berkenaan

Informasi
Selain itu, ia adalah kesinambungan daripada projek perintis koc wanita di MRT laluan Kajang yang…
Informasi
Menurut Prasarana, operasi waktu puncak pagi akan ditambah 30 minit iaitu bermula jam 6.30 pagi…
Berita Domestik
Menurut kenyataan itu angka penggunaan harian tertinggi adalah 1,200,433 yang dicatatkan pada 22…