Prasarana perluas penggunaan aplikasi PULSE ke Rapid Penang, Rapid Kuantan

oleh Mohamad Hanif|
Prasarana Malaysia Berhad kini memperluaskan lagi penggunaan aplikasi perancang perjalanan PULSE (Planning Your Lifestyle Effieciently) kepada para pengguna perkhidmatan Rapid Penang dan Rapid Kuantan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Aplikasi tersebut diperkenalkan kepada pengguna perkhidmatan rel dan bas Rapid KL pada 17 Disember yang lalu, dan membawakan beberapa fungsi seperti perancang perjalanan, penjejak waktu ketibaan masa sebenar, paparan notifikasi dan pengiraan tambang.

Selain itu, ia juga turut memaparkan peta stesen-stesen tren dan hab bas, serta tempat menarik yang terdapat di sekitar seperti pusat membeli belah, tempat makan dan lokasi tarikan pelancong.

Menurut Pemangku Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Datin Hjh Norlia Hj Noah berkata, aplikasi ini akan dikembangkan lagi dengan fungsi seperti pembelian dalam talian, program kad kesetiaan, promosi, serta ganjaran rakan niaga pada masa akan datang.

Setakat ini, PULSE telah dimuat turun lebih 20,000 kali oleh pengguna di sekitar Lembah Klang, di mana ia merangkumi semua perkhidmatan tren dan bas di bawah seliaan Rapid KL termasuk LRT, MRT, monorel, bas BRT, GoKL dan Smart Selangor.

Serentak dengan pelancaran versi terbaharu PULSE, pengguna berpeluang untuk menyertai kempen promosi dinamakan sebagai "Mana Oyen?" bermula 23 hingga 30 Julai 2021.

Tiga penyertaan lengkap dengan jawapan yang betul dari setiap lokasi (Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan) akan memenangi hadiah misteri, manakala 50 penyertaan terawal akan mendapat kad My Rapid Touch 'n Go edisi terhad.

Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi kedai aplikasi Apple App Store dan Google PlayStore.

Berita Berkenaan

Berita Global
Dari segi penampilan, Pulse Abarth ini didatangkan dengan muka hadapan yang serba agresif, jeriji…