Prasarana siasat video tular libatkan kakitangan

oleh Mohamad Hanif|
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menjalankan siasatan serta-merta dan terperinci berhubung video tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam syarikat itu bertindak memukul orang awam di sebuah kedai serbaneka, hari ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Prasarana dalam kenyataan memaklumkan pihaknya belum mengenal pasti tarikh, masa dan lokasi kejadian terbabit.

"(Prasarana) memandang serius dakwaan bahawa si pemukul adalah kakitangan Prasarana berdasarkan pakaian seragam yang dipakai dalam video berkenaan.

"Dipercayai kejadian berlaku apabila mangsa ditangkap dan dituduh mengambil makanan tanpa membayar di kedai serbaneka berkenaan," menurut kenyataan itu.

Justeru Prasarana meminta orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut atau mempunyai maklumat supaya menghubungi talian 03-7885 2585 atau emel ke [email protected].

Prasarana menegaskan tingkah laku si pemukul adalah bertentangan dengan kod etika kerja syarikat pengangkutan awam itu.

"Dalam apa jua situasi, sekiranya memerlukan bantuan lanjut, ia sepatutnya dipanjangkan kepada pihak berkuasa," menurut kenyataan itu.

Prasarana juga memohon maaf atas kejadian itu dan memberi jaminan tindakan susulan yang bersesuaian akan diambil bagi memastikan perkara sama tidak berulang di masa hadapan.

Hari ini, tular satu video di media sosial yang memaparkan seorang lelaki dipercayai staf Prasarana bertindak memukul seorang lelaki, dipercayai warga asing, dalam sebuah kedai serbaneka.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Selepas lebih setahun ditutup, kini perkhidmatan LRT laluan Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya…
Berita Domestik
Antaranya ialah: • RM96 juta untuk Dana Sokongan Bas Henti-henti sebanyak RM96 juta untuk laluan…
Berita Domestik
Saman tersebut dikemukakan oleh plaintif iaitu Tengku Amalie Tengku Alauddin Shah, 47, Marvena…