
Menurut laporan dari CarNewsChina, Xiaomi YU7 akan menjadi model kedua dalam rangkaian kenderaan elektrik Xiaomi selepas kejayaan sedan Xiaomi SU7. Kali ini, fokus diberikan kepada pasaran SUV segmen pertengahan ke atas dengan reka bentuk sporty, prestasi tinggi, dan teknologi pintar berasaskan ekosistem HyperOS milik Xiaomi sendiri.

Xiaomi YU7 menampilkan dimensi yang agak besar, dengan panjang 4,999 mm dan jarak roda 3,000 mm – hampir menyamai saiz SUV mewah seperti BMW iX. Reka bentuk luaran mengekalkan elemen minimalis dengan gril hadapan tertutup dan lampu LED yang menyerupai SU7. Bahagian belakang pula dihiasi lampu LED berbentuk C serta spoiler bumbung.
Dari segi kuasa, Xiaomi menawarkan tiga konfigurasi utama:
- Single-motor RWD dengan kuasa 235 kW (315 hp) dan bateri 96.3 kWh, mampu mencapai jarak sehingga 835 km.
- Dual-motor AWD (standard) 130 kW di depan dan 235 kW di belakang, dengan bateri 101.7 kWh dan jarak sekitar 670–760 km.
- Dual-motor AWD (berprestasi tinggi) 220 kW (depan) + 288 kW (belakang), dengan jumlah kuasa 681 hp dan kelajuan maksimum 253 km/j.
Model ini turut menyokong pengecasan pantas 800V, yang dikatakan mampu menambah jarak 200 km hanya dalam masa 5 minit pengecasan.

Bahagian dalamannya hadir dengan reka bentuk moden dan kemas, menampilkan paparan infotainmen terapung, paparan head-up panoramik (PHUD), serta konsol tengah lengkap dengan pengecas tanpa wayar berganda dan pemegang cawan. Stereng tiga jejari serta tempat duduk gaya bucket memberikan sentuhan sporty, manakala sistem hiburan turut ditawarkan kepada penumpang belakang.

Keseluruhan sistem operasi kenderaan dikuasakan oleh HyperOS, membolehkan integrasi lancar dengan peranti pintar Xiaomi sedia ada seperti telefon, TV dan tablet
Xiaomi YU7 dijangka menjadi pesaing terus kepada Tesla Model Y, Nio EC6 dan beberapa SUV elektrik lain dalam segmen harga pertengahan premium. Ia dijangka ditawarkan pada harga antara 250,000 hingga 350,000 yuan (sekitar RM161,000.00 hingga RM226,000.00), menjadikannya salah satu SUV elektrik paling berbaloi dalam kategorinya.
Pelancaran rasmi dijangka berlangsung pada hujung Mei atau awal Jun 2025, dan tempahan awal mungkin dibuka sejurus selepas itu di China.