Prestasi rel Prasarana terus catat peningkatan setakat Julai

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Prestasi perkhidmatan rel kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menunjukkan peningkatan positif apabila mencatatkan Purata Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) sebanyak 0.54 juta kilometer (km) dengan hanya 24 gangguan direkodkan setakat Julai 2025.

MKBF bagi keseluruhan 2024 merekodkan 0.33 juta km dengan 71 gangguan, manakala pada 2023 mencatatkan 0.16 juta km dengan 118 gangguan.

Pengukuran MKBF diguna pakai Prasarana sejak 2023 adalah penanda aras utama bagi mengukur prestasi perkhidmatan rel bertujuan mengurangkan kekerapan kegagalan atau gangguan teknikal sepanjang jarak perjalanan yang ditetapkan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, berkata peningkatan prestasi itu didorong hasil usaha keras seluruh warga kerja Prasarana.

"Mengendalikan jutaan perjalanan penumpang setiap hari adalah amanah besar yang dipikul, dengan matlamat memastikan setiap pengguna menikmati perjalanan yang selamat dan selesa ke destinasi masing-masing," katanya.

Pencapaian terkini yang memberangsangkan turut didorong beberapa inisiatif strategik, antaranya pelaksanaan program penyelenggaraan berasaskan keadaan (CBM) di mana proses menggantikan komponen yang dinilai akan rosak atau kerap bermasalah akan terus dilaksanakan tanpa menunggu jangka hayat tamat.

Sebagai contoh, penggantian beberapa sub komponen sistem tren dan sistem isyarat bagi Laluan Kajang. Selain itu, pelaksanaan beberapa projek naik taraf dan penyelenggaraan khas turut memberi impak positif kepada ketersediaan dan kebolehpercayaan sistem.

"Antaranya adalah projek penyelenggaraan separa hayat tren-tren Laluan Ampang. Fokus seterusnya, Prasarana akan memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan bas dengan mengadaptasi penanda aras MKBF sebagai ukuran utama," tambah Amir.

Beliau berkata, Prasarana komited untuk terus memperkukuh peranan sebagai penyedia pengangkutan awam utama negara, memastikan perjalanan harian rakyat bukan sahaja lebih selesa dan selamat, tetapi juga lebih boleh dipercayai, sama ada di atas jajaran, mahupun di jalan raya.

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
“Bukit Aman memandang serius isu ini, terutama di beberapa negeri yang dikenal pasti sebagai lokasi…
Berita Domestik
"Selaras dengan penyelarasan ini, pemegang pas My50, Rapid Kota, Rapid Kembara dan Rapid Keluarga…
Berita Domestik
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sebanyak 240 bas elektrik akan diperoleh dalam dua fasa…