Tidak lagi bersembunyi, Prodrive P25 tanpa segan silu menunjukkan rupa yang sebenar yang menyerupai model Impreza 22B meskipun masih lagi dalam bentuk lakaran.
Prodrive P25 dihasilkan bersempena dengan sambutan ulang tahun yang ke-25 kejayaan Impreza di dalam sukan World Rally Championship, dan difahamkan sebanyak 25 unit sahaja yang akan dihasilkan.
Dari segi luaran, ia masih lagi mengekalkan bentuk asal Impreza 22B dua pintu dengan kemasan Sonic Blue, namun didatangkan dengan beberapa elemen moden yang menjadikannya lebih berkuasa, lebih ringan dan menawarkan pengendalian yang lebih baik.
Seperti contoh, enjin 2.5 liter yang dikatakan mampu menghasilkan kuasa melebihi 400 hp, sistem transmisi semi-automatik enam kelajuan dengan paddle shifter, serta penggunaan bahan gentian karbon bagi mengurangkan berat keseluruhan casis.
Pembangunan model P25 turut menampilkan penglibatan pereka McLaren F1, Peter Stevens serta pengarah teknikal Prodrive, David Lapworth yang sebelum ini bertanggungjawab terhadap aspek kejuruteraan program WRC 25 tahun yang lalu.
Model asal Subaru Impreza 22B dihasilkan sebanyak 424 unit pada tahun 1998, di mana 400 daripadanya dikhususkan untuk pasaran Jepun dan selebihnya dieksport ke UK (16 unit), Australia (lima unit) dan tiga merupakan unit prototaip.