Pun begitu, Mercedes terpaksa berdepan cabaran bagi memastikan enjin V6 1.6 liter turbo daripada jentera F1 itu mampu untuk memenuhi regulasi emisi dan bunyi bising yang telah ditetapkan.

Kini, produksi bagi model hypercar jalanan itu sudah pun bermula di fasiliti AMG yang terletak di Coventry, UK sementara pemasangan trenkuasa hibrid dengan empat motor elektrik itu dikendalikan oleh divisyen Mercedes-AMG High Performance Powertrains di Brixworth.
Di sana, setiap jentera Mercedes-AMG One yang belum dipasang ini perlu menempuh kira-kira 16 buah stesen pemasangan dan pengujian, dengan tenaga kerja lebih daripada 50 orang untuk menghasilkan sebuah hypercar One.

Selepas binaan tersebut selesai, jentera bernadikan enjin F1 itu akan dinilai di litar pengujian sebelum pemandu uji professional memberikan lampu hijau menandakan hypercar itu lulus cemerlang dan sedia untuk dipandu pemiliknya.
Selesai sesi ujian, setiap satu Mercedes-AMG One akan dibalut rapi dan dibawa ke fasiliti ibu pejabat AMG di Affalterbach, Jerman di mana pemilik akan menerima unit masing-masing serta sesi penerangan teknikal berkenaan jentera Mercedes yang paling radikal pernah dihasilkan.

Sebut pasal enjin, nadi yang diambil secara terus daripada sukan F1 itu mampu mencapai putaran enjin setinggi 11,000 rpm, dimana nadi V6 itu sahaja mampu menghasilkan kuasa setinggi 566 hp.
Ia dibantu dengan kehadiran empat motor elektrik, dua daripadanya untuk roda hadapan dengan kuasa 322 hp, motor ketiga terletak berdekatan dengan enjin (161 hp) dan motor keempat pula dihubungkan dengan unit pengecas turbo (122 hp).
Secara keseluruhan, Mercedes-AMG One mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,049 hp dan ia masih lagi mampu untuk mematuhi piawaian emisi Euro 6!

Salah satu cabaran terbesar buat para jurutera Mercedes-AMG adalah untuk memastikan enjin tersebut mampu melepasi piawaian emisi disebabkan nadi F1 itu biasanya melahu pada putaran enjin 5,000 rpm, namun pihak mereka berjaya menurunkan angka tersebut kepada 1,200 rpm sekaligus membolehkan Mercedes-AMG One ini melepasi ujian emisi untuk kereta jalanan.
Sebagai sebuah hypercar plug-in hybrid, Mercedes-AMG One dilengkapi dengan pek bateri lithium-ion berkapasiti 8.4 kWh yang membenarkan jarak operasi sifar emisi sejauh 18 km.
Baca: Mercedes-AMG One
PRODUKSI MERCEDES-AMG ONE BERMULA