Projek ECRL telah capai 30 peratus kerja pembangunan

oleh SALINA JALIL|
Kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah mencapai kemajuan 30 peratus setakat Mei, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.


Beliau berkata kemajuan pembinaan Projek ECRL kini pada tahap yang meyakinkan untuk mencapai sasaran sebanyak 37 peratus menjelang akhir tahun ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

 

Wee berkata perkembangan itu didorong oleh kerja infrastruktur di empat negeri yang merangkumi jajaran Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun, Seksyen B dari Dungun ke Mentakab dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang.

 

Menurut beliau, kerja infrastruktur Projek ECRL berjalan secara serentak di ketiga-tiga Seksyen A, B dan C serta sedang dilaksanakan dengan lancar di lebih 300 kawasan kerja di sepanjang jajaran 665 kilometer.

 

"Bilangan kawasan kerja akan terus meningkat menjelang kemuncak pembinaan pada 2023... sebanyak 23,000 tenaga kerja diperlukan untuk membangunkan Projek ECRL dengan lebih efektif," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Permulaan Pembinaan Terowong Genting ECRL Pahang di sini, hari ini yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tambah beliau, pelbagai kekosongan jawatan dalam bidang pengurusan dan bukan pengurusan akan dapat diisi, serta memberi jaminan bahawa keperluan tenaga kerja tempatan akan meningkat sehingga 70 peratus kuota pada 2023, seiring dengan perkembangan pembinaan yang bakal mencapai tahap kemuncak pada waktu itu.

 

Menyentuh mengenai perkembangan pembinaan Terowong Genting, Wee berkata pemasangan mesin pengorek terowong pertama (TBM1) telah siap menjalani ujian percubaan pada April lalu.

 

Terowong Genting adalah terowong ECRL pertama dikorek menggunakan kaedah TBM berbanding kaedah gerudi dan letup yang telah digunakan untuk terowong-terowong ECRL sedia ada.

 

Katanya, pintu masuk portal satu di Terowong Genting juga sudah dikorek sepanjang 181 meter dengan kaedah gerudi dan letup bagi memudahkan mesin TBM1 yang mempunyai diameter 8.98 meter dibawa masuk ke lokasi yang ditetapkan.

 

"Projek ECRL juga berhasrat untuk memasang semula mesin TBM2 dan menjalankan ujian percubaan sebelum akhir tahun ini, bagi melaksanakan kerja-kerja pengorekan di kedua-dua portal Terowong Genting.

 

"Kerja pembinaan di terowong berkenaan telah membuka fasa baharu dalam pembinaan Projek ECRL dan kami yakin pembinaan terowong rel ini akan siap seperti dijadualkan," kata Wee.

 

Kos Projek ECRL sepanjang 665 kilometer membabitkan 59 terowong dianggarkan mencecah RM50.27 bilion itu merangkumi kerja-kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

 

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Westports Holdings Sdn Bhd, operator untuk pelabuhan itu akan melabur sebanyak RM39.6 billion untuk…
Berita Domestik
"Projek ECRL telah memasuki fasa baharu pembinaan sejak 2023, dengan kerja-kerja infrastruktur juga…
Informasi
"Proses pengambilan tanah untuk semua laluan utama ECRL di Terengganu telah selesai sepenuhnya…