Projek LRT: 'Ipoh tidak seperti Kuala Lumpur' - MB Perak

oleh SALINA JALIL|
gambar dari The Rakyat Post
Cadangan pembinaan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) sepanjang 58 kilometer (km) di Bandaraya Ipoh memerlukan kajian terperinci, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, ia kerana projek itu melibatkan pelaburan besar selain membabitkan pembinaan jajaran di kawasan penduduk di sekitar bandar raya tersebut.

Katanya kajian berkenaan juga harus meliputi pandangan umum tentang keperluan mewujudkan perkhidmatan LRT itu.

 

Bagaimanapun, katanya jika menjadi kenyataan, ia akan dibangunkan pihak swasta menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

 

“Ipoh ini tidak seperti di Kuala Lumpur yang mana aliran trafik dan bilangan kenderaan tinggi, selain tempat meletakkan kenderaan agak terhad. Disebabkan itu di sana memerlukan LRT.

 

“Namun di Ipoh, setakat ini saya lihat aliran trafik tidak terlalu tinggi malah tidak ada masalah untuk meletakkan kenderaan. Semua tempat membeli-belah di sini juga ada ruang parkir yang cukup.

 

“Akan tetapi, jika pelaksanaannya untuk jangka masa panjang, ia memerlukan kajian terperinci terutama dari segi jajaran yang melintasi kawasan perumahan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Cikgu Saarani Wacana Perak Sejahtera 2030 dan Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik dan Sukan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

 

Pada November tahun lalu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengeluarkan Draf Rancangan Tempatan Bandar Raya Ipoh 2035 (Penggantian) menerusi laman sesawangnya yang turut menyenaraikan cadangan membina 28 stesen LRT membabitan dua laluan di bandar raya ini.

 

Dilaporkan laluan pertama adalah Meru Raya-Ipoh-Batu Gajah meliputi jarak 30 km manakala laluan kedua, Bandar Sunway-Ipoh-Simpang Pulai pula sejauh 28 km dengan kekerapan perkhidmatan selama enam minit.

 

Pada Selasa, sebuah akhbar tempatan menyiarkan keluhan pembaca yang mempersoalkan rancangan pembinaan LRT itu dan perancangan kewangan MBI dan Kerajaan Perak yang menelan kos sebanyak RM14.5 bilion.

 

Pembaca itu berkata, penduduk di Ipoh memerlukan sistem pengangkutan awam yang efisien dengan segera berbanding projek LRT yang dijangka mengambil masa lebih 10 tahun untuk disiapkan.

 

 

 

Astro Awani