Langkah ini merupakan antara usaha syarikat meningkatkan keselamatan dan kapasiti lebuh raya, mengurangkan kesesakan, serta memperkukuh ketahanan infrastruktur terhadap impak perubahan iklim. Fokus utama kini melibatkan jajaran KLK dari KM19.2 hingga KM64.5, antara Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong.
Menurut AFA PRIME, kerja pembinaan akan mengambil masa sekitar 48 bulan dan turut melibatkan penambahan lorong, pembinaan tembok penahan banjir, serta kerja-kerja persediaan seperti pemotongan cerun dan sistem perparitan. Waktu kerja juga akan dihadkan kepada luar waktu puncak untuk mengurangkan gangguan kepada trafik harian. Sistem pencahayaan malam turut akan ditambah baik bagi memastikan keselamatan optimum.
“Pelebaran lebuh raya bukan sekadar soal kapasiti. Ini soal kebolehpercayaan, keselamatan, dan daya tahan jangka panjang. Kami perkenal sistem pemantauan masa nyata serta protokol kecemasan agar pengguna sentiasa selamat, walaupun dalam fasa pembinaan,” jelas Pengarah Eksekutif AFA PRIME, Ir. Vijayraj.
Salah satu ciri menarik ialah penambahan satu lorong di setiap hala dengan pelebaran bahu jalan daripada 2.5 meter ke 3 meter. Bahu jalan ini juga akan boleh digunakan secara fleksibel sebagai lorong pintar pada waktu puncak – pendekatan yang dilihat boleh mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kadar aliran trafik secara signifikan.
Bagi meningkatkan aspek kesiapsiagaan kecemasan, sebanyak lapan petak kecemasan baharu turut akan dibina. Langkah ini penting terutamanya bagi kawasan Genting Sempah yang kerap mengalami masalah teknikal kenderaan dan trafik tinggi.
Dalam masa sama, kerja-kerja mitigasi banjir di LPT1 sudah pun dimulakan. Ia melibatkan penambahbaikan sistem saliran, perparitan serta infrastruktur kritikal bagi mengurangkan risiko banjir kilat terutama ketika hujan lebat. Inisiatif ini sejajar dengan usaha meningkatkan daya tahan lebuh raya terhadap perubahan iklim.
AFA PRIME turut melantik Edgenta PROPEL Berhad sebagai rakan pengurusan trafik sepanjang fasa pembinaan. Syarikat itu akan menyediakan sokongan kawalan lalu lintas, papan tanda, rondaan keselamatan dan penyampaian maklumat trafik 24/7 menerusi sistem pemantauan digital.
Untuk memudahkan pengguna merancang perjalanan, papan mesej elektronik (VMS) akan dipasang di beberapa lokasi strategik. Maklumat terkini akan turut dikongsi melalui saluran media sosial rasmi AFA PRIME Berhad.
Projek pelebaran KLK dan mitigasi banjir LPT1 ini merupakan sebahagian usaha nasional untuk mempertingkatkan kesalinghubungan antara Lembah Klang dan Pantai Timur – laluan penting kepada ekonomi dan mobiliti negara. Dengan komitmen terhadap keselamatan, keberkesanan dan kebolehpercayaan, AFA PRIME yakin projek ini akan membawa manfaat jangka panjang kepada semua pengguna lebuh raya di Malays