Proton bangunkan jentera lumba S70 R3 untuk bertempur di Sepang 1000KM 2024!

oleh Mohamad Hanif|
Proton dalam satu kenyataan terbaharu hari ini mengumumkan penyertaan semula dalam perlumbaan Sepang 1000KM (S1K) pada tahun ini, setelah menyepi beberapa tahun kebelakangan ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk itu, divisyen R3 Motorsports yang kini berada dibawah naungan Proton Global Services (PGS) akan memberikan tumpuan untuk membangunkan kereta lumba khas Proton S70 R3 dengan menggunakan asas daripada sedan yang baharu dilancarkan pada tahun lepas.
 

S70


Untuk makluman, R3 Motorsports telah menyambut ulang tahun yang ke-20 pada tahun lepas menerusi pelancaran model SUV Proton X50 R3 edisi Ulang Tahun ke-20.

Pihak R3 Motorsports berharap penyertaan S70 R3 dalam perlumbaan S1K tahun ini dapat meningkatkan lagi jualan produk minyak pelincir berprestasi tinggi R3 yang telah dilancarkan sebelum ini.

Tiada sebarang spesifikasi terperinci diumumkan buat masa ini, namun yang pasti divisyen R3 Motorsports bakal melengkapkan jentera lumba S70 itu mengikut undang-undang yang telah ditetapkan untuk kategori M Production (MTC).
 

R3


Dalam satu laporan terdahulu oleh The Sun, CEO Proton Encik Roslan Abdullah mendedahkan model sedan S70 R3 yang akan ditawarkan kelak bukan sekadar naik taraf bersifat kosmetik semata-mata seperti model X50 edisi R3 yang terdahulu.

Ini bermakna, Proton kini sedia untuk menawarkan pakej naik taraf prestasi yang lebih menyeluruh, sekaligus mengikut jejak langkah yang pernah ditinggalkan oleh legasi Satria GTi R3 dan Satria Neo R3.

Buat masa ini, Proton S70 dibekalkan dengan enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter menghasilkan 150 PS dan 226 Nm yang dipadankan dengan kotak gear DCT tujuh kelajuan.

Adakah ini bermakna S70 versi R3 kelak akan menampilkan enjin 1.5 liter TGDI berkuasa 177 PS dan 255 Nm? Sama-sama kita nantikan perkembangan berikutnya.

Baca: Proton S70 2024