Proton Catat Peningkatan Jualan Tiga Bulan Berturut-Turut – e.MAS 7 Cecah 916 Unit, Eksport Meningkat 36.6%

oleh Qalif Latif|
Proton terus mengekalkan momentum positif apabila berjaya mencatatkan peningkatan jualan untuk tiga bulan berturut-turut, menutup bulan Mei dengan jualan keseluruhan sebanyak 13,328 unit. Angka ini merangkumi jualan domestik, eksport, jenama smart serta model EV e.MAS, menunjukkan peningkatan 6.1% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Proton

Lebih membanggakan, jualan suku kedua (Mac hingga Mei) menunjukkan pertumbuhan 10% secara tahunan, dengan jumlah jualan tahun-ke-tarikh (YTD) mencecah 61,087 unit. Dari sudut pegangan pasaran, Proton dijangka kekal kukuh dengan anggaran 19.2% bagi bulan Mei dan YTD berdasarkan jumlah anggaran industri (TIV) sebanyak 69,495 unit.
Proton

Antara model yang menjadi pemacu utama ialah Proton X50 dan X70 yang menerima kemas kini tahun lalu. X70 menunjukkan lonjakan jualan tertinggi bulan ini dengan peningkatan 44% (982 unit), menjadikan peningkatan YTD berbanding 2024 mencecah 53.1%. Proton X50 pula mengekalkan kedudukan sebagai SUV-B paling laris dengan jualan Mei sebanyak 2,198 unit dan jumlah YTD 9,704 unit, iaitu peningkatan 14.3%.

SUV segmen-D, Proton X90, turut menunjukkan peningkatan sebanyak 15.5% kepada 224 unit. Bagi model sedan pula, Proton Saga kekal sebagai tunjang jualan dengan 5,513 unit terjual (+5.8%), diikuti Persona (1,385 unit, +4.3%) dan S70 (1,763 unit, +2.7%). Model hatchback Iriz mencatatkan 331 unit, peningkatan 14.1% dan kekal antara empat hatchback segmen-B paling popular di Malaysia.

Sementara itu, model EV sulung Proton, e.MAS 7, terus mengukuhkan dominasinya di pasaran tempatan. Sebanyak 916 unit SUV elektrik segmen-C itu berjaya dijual pada bulan Mei pencapaian tertinggi setakat ini  sekali gus menjadikan jumlah jualan tahun ini mencecah 3,632 unit. Ini menandakan bulan kelima berturut-turut e.MAS 7 mengungguli carta EV Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong, peningkatan ini didorong oleh promosi agresif, rangkaian pengedar 3S/4S yang kukuh serta daya tarikan produk baharu. Katanya, Proton yakin mampu mengekalkan rentak pertumbuhan ini sepanjang separuh kedua tahun menerusi pelancaran produk baharu yang telah dirancang.

Proton

Dari aspek eksport pula, jualan luar negara Proton melonjak 36.6% berbanding tahun lalu. Antara faktor penyumbang utama ialah pelancaran Proton Saga versi pemanduan kiri (LHD) di Mesir, serta pengenalan e.MAS 7 di Nepal dan Singapura. Menjelang Jun, model EV tersebut bakal dilancarkan pula di Trinidad & Tobago, menjadikan jumlah eksport e.MAS 7 kini melebihi 233 unit.

Bagi eksport model konvensional, Proton Saga kekal mendahului dengan 710 unit, diikuti Proton X50 yang mencatatkan peningkatan luar biasa sebanyak 360% kepada 694 unit YTD.

“Fokus terhadap pasaran eksport mula menunjukkan hasil dalam jangka masa pendek. Namun kejayaan sebenar memerlukan perancangan jangka panjang yang terstruktur, dan kami yakin mampu merealisasikannya,” tambah Dr. Li.

Dengan pencapaian ini, Proton dilihat berada di landasan kukuh untuk terus bersaing dalam landskap automotif tempatan dan global, sambil terus memperkukuh jenamanya sebagai pembuat kereta nasional yang bertaraf dunia.

Tags

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Dato’ Abdul Rashid bukan nama asing dalam industri automotif tempatan. Berbekalkan lebih 30 tahun…
Berita Domestik
Dibina atas platform baharu Advanced Modular Architecture (AMA), Saga Serba Baharu menawarkan asas…
Berita Domestik
Maklum balas awal daripada pemilik juga sangat positif, membuktikan Proton berjaya menghasilkan…