Acara pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan model terbaru Proton, malah akan menampilkan detik paling dinantikan, pendedahan harga anggaran e.MAS 5. Lebih menarik lagi, ia turut diserikan dengan pengacaraan pempengaruh automotif Boss James serta pelakon popular tanah air, Norreen Iman.
Penonton berpeluang menyaksikan demonstrasi produk secara langsung, sesi interaktif bersama pakar automotif, serta perkongsian pengalaman sebenar menggunakan EV.
Proton e.MAS 5 direka sebagai hatchback elektrik kompak yang menekankan konsep mampu milik tanpa mengorbankan kepraktisan.
Walaupun berada dalam segmen B, ia menawarkan ruang kabin setara kereta segmen C, sekali gus menjadikan perjalanan keluarga, rakan mahupun penumpang lebih selesa. Proton menekankan bahawa e.MAS 5 adalah simbol pemanduan pintar, bersih dan praktikal, sebuah EV yang dicipta untuk gaya hidup rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata model ini mendapat perhatian besar sejak kemunculannya di MARii Autoshow 2025. “Melalui siri jelajah e.MAS Tour MISI 5, kempen Electrify Your Life serta perarakan Hari Kebangsaan, Proton e.MAS 5 telah diperkenalkan kepada lebih tiga juta rakyat Malaysia.
“Maklum balas yang diterima amat menggalakkan, dan inilah yang memberikan keyakinan kepada kami bahawa e.MAS 5 akan menetapkan tanda aras baharu untuk mobiliti elektrik mampu milik di Malaysia,” katanya.
Bermula 4 Oktober, orang ramai boleh membuat tempahan Proton e.MAS 5 sama ada ketika siaran langsung atau terus di mana-mana pengedar rasmi Proton e.MAS seluruh negara.
Lebih istimewa, pelanggan yang membuat pendaftaran awal akan menikmati ganjaran eksklusif termasuk rebat khas, namun tawaran ini hanya sah dalam jumlah yang terhad.
Bagi mereka yang ingin menyaksikan acara pelancaran, siaran langsung Open for Booking boleh ditonton di TikTok dan Facebook rasmi Proton e.MAS, selain platform sosial rakan pempengaruh serta pakar teknologi dan automotif.
Untuk maklumat terkini mengenai Proton e.MAS 5, pelanggan boleh melayari laman web Proton e.MAS atau mengikuti saluran rasmi di Facebook, Instagram dan TikTok. Segala info berkaitan tempahan serta liputan langsung akan dikemas kini secara berterusan.