Pengumuman Open for Booking ini dibuat selepas satu ujian pemanduan luar biasa menerusi sesi livestream selama 25 jam, melibatkan jarak perjalanan melebihi 1,100km dari Pulau Pinang ke Johor Bahru sebelum kembali ke Proton Centre of Excellence (COE) melalui Lebuhraya Utara–Selatan.
Ujian ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya direka untuk membuktikan kecekapan sebenar, keupayaan perjalanan jarak jauh serta kesesuaian Proton e.MAS 7 PHEV untuk kondisi pemanduan di Malaysia.
Sepanjang perjalanan dua hari tersebut, sesi livestream menampilkan hos bergilir, pakar produk serta KOL dari segmen gaya hidup, teknologi dan automotif yang berkongsi pengalaman pemanduan secara langsung, sesi soal jawab masa nyata serta pandangan di atas jalan.
Lebih meyakinkan, kenderaan yang sama digunakan sepanjang laluan tersebut tiba semula di pentas acara tanpa perlu mengisi minyak atau mengecas, sekali gus mengukuhkan dakwaan keupayaan jarak jauh PHEV ini dalam situasi sebenar.
Dalam masa yang sama, PRO-NET turut mendedahkan anggaran harga bagi Proton e.MAS 7 PHEV, yang dijangka berada dalam lingkungan RM110,000 hingga RM130,000.
Julat harga ini meletakkan model tersebut sebagai pilihan yang berpotensi menarik untuk pengguna yang mahukan pengalaman electric-first driving, namun masih memerlukan kebebasan untuk perjalanan jarak jauh tanpa kebimbangan pengecasan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, pengenalan Proton e.MAS 7 PHEV merupakan satu pencapaian penting dalam pengembangan portfolio Proton e.MAS, khususnya apabila jenama ini melangkah ke teknologi plug-in hybrid.
Beliau menjelaskan bahawa model ini dibangunkan khusus untuk rakyat Malaysia yang ingin menikmati pemanduan elektrik dalam kegunaan harian, tanpa mengorbankan keyakinan untuk merentas jarak jauh.
Dari sudut teknikal, Proton e.MAS 7 PHEV menampilkan sistem PHEV termaju yang menggabungkan pemanduan elektrik dan fleksibiliti hibrid secara pintar.
Antara komponen utama termasuk sistem 11-in-1 Dedicated Hybrid Transmission, pengurusan tenaga pintar, pertukaran automatik mod EV dan Hybrid, serta penggunaan bateri LFP (Lithium Ferro Phosphate) yang terkenal dengan ketahanan dan keselamatan.
Untuk kebanyakan situasi harian, kenderaan ini beroperasi dalam EV mode atau series-hybrid mode, di mana enjin petrol tidak memacu roda secara langsung tetapi berfungsi menjana elektrik melalui P1 motor bagi menyokong bateri atau membekalkan tenaga kepada P3 motor yang menggerakkan roda.
Namun, apabila pemanduan lebuh raya atau pendakian berpanjangan memerlukan kecekapan lebih tinggi, sistem akan mengaktifkan klac secara automatik, membolehkan enjin memacu roda secara langsung atau bekerja bersama motor elektrik.
Pendekatan ini memastikan keseimbangan optimum antara kecekapan dan prestasi, sambil mengekalkan pengalaman pemanduan yang senyap, lancar dan praktikal.
Digabungkan dengan reka bentuk dalaman yang kemas, sistem connectivity moden, ciri keselamatan ADAS serta pemanduan elektrik bebas emisi, Proton e.MAS 7 PHEV dilihat sesuai untuk kegunaan harian di bandar, percutian hujung minggu mahupun perjalanan antara negeri.
Tempahan untuk Proton e.MAS 7 PHEV kini dibuka dengan bayaran tempahan serendah RM99.
Pelanggan terawal juga berpeluang menikmati insentif khas termasuk rebat RM500 ke atas yuran tempahan, tertakluk kepada terma dan syarat, dan terhad kepada 5,000 pelanggan pertama yang berjaya mendaftar.
Bagi mereka yang berminat, pendaftaran boleh dibuat menerusi laman web rasmi Proton e.MAS atau di pengedar Proton e.MAS sah di seluruh negara, sementara maklumat lanjut turut dikongsi melalui saluran media sosial rasmi Proton e.MAS.