Proton Persona 2022 - berbaloikah model facelift kali ini?

oleh Mohamad Hanif|
Bulan lalu, Proton secara rasmi telah melancarkan Persona 2022 (bersama kembarnya Iriz 2022) untuk kemaskini yang entah kali keberapa, penulis pun sudah hilang pengiraan terhadap berapa banyak kemaskini yang dibawakan pada model segmen B ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Yang pasti, untuk model kemaskini terbaharu ini, Proton telah banyak membawakan penambahbaikan bagi menjadikan ia lebih malar segar dan terus relevan dengan peredaran zaman.

Versi yang kami uji (sudah semestinya) Proton Persona 1.6L Premium CVT dan ramai yang sudah tahu Iriz dan Persona 2022 tidak lagi ditawarkan dalam versi manual. Kenapa? Baca sampai habis.
 

Proton


Menurut Proton, ada kira-kira lebih daripada 100 penambahbaikan yang telah dibuat terhadap kedua-dua Iriz dan Persona, namun penulis akan memfokuskan kepada model kegemaran ramai, iaitu Persona sahaja dalam artikel ini.

Dari segi luaran, anda boleh melihat beberapa perubahan berikut:
1. Gril hadapan dengan elemen rekaan infinite weave
2. LAMPU DEPAN LED!
3. Rekaan bampar serba baharu dengan lampu nyalaan siang LED, sayangnya lampu kabus dah ditiadakan.
4. Rim 16 inci, rekaan baharu.
5. Bumbung berwarna hitam
6. Lampu belakang dengan efek gelap

Ruang kabin pula diberikan perubahan seperti:
1. Sistem infotainmen jenis terapung
2. Rekaan konsol tengah serba baharu, dengan kehadiran perehat tangan yang telah lama dinanti-nantikan
3. BANYAK slot USB, termasuk satu untuk kamera perakam pemanduan
4. Unit kawalan pendingin hawa dengan paparan digital
5. Kemasan kulit perang seakan Proton X70
6. Kemasan panel pintu dua tona

Seperti yang pernah kami sentuh sebelum ini, Proton juga turut mendatangkan penambahbaikan yang tersirat, di mana ia menyumbang kepada:
1. kadar NVH yang lebih senyap
2. operasi CVT yang jauh lebih senyap dan lancar
3. kadar penjimatan bahan api lebih baik berbanding model terdahulu

Namun sejauh mana penambahbaikan itu membuatkan Persona 2022 ini masih lagi berbaloi untuk dibeli? Teruskan membaca.

 

1. Persona 2022 lebih responsif, tapi jimat bahan api? Tidak.

Persona


Untuk Persona 2022, ia masih lagi mengekalkan enjin 1.6 liter Campro VVT yang mampu menghasilkan 109 PS dan 150 Nm, dipadankan dengan transmisi CVT.

Menurut Proton, unit enjin purba tersebut tidak lagi diberikan penambahbaikan kerana sudah sampai had dan limitasi, namun unit CVT telah ditambahbaik dengan ciri yang mampu menjadikannya lebih responsif, serta menjimatkan bahan api.

Setakat pandu uji yang telah dibuat, penulis memang mendapati permulaan pemanduan yang responsif, tidak malas bergerak dan untuk menjadi hero di kanan lebuh raya memang tidak menjadi satu masalah.
 

Persona


Kurang gegaran, serta kabin yang senyap tanpa bunyi bising angin ketara menerjah masuk memang antara kelebihan utama Persona ini ketika pemanduan santai di lebuh raya.

Cuma penulis sebenarnya masih lagi tidak menggemari karakter CVT yang ditawarkan oleh Proton, disebabkan ia menawarkan pengalaman pemanduan yang tidak selancar kotak gear CVT yang ada di pasaran.

Kadar penggunaan bahan api? Daripada dakwaan Proton serendah 6.6 liter untuk setiap 100 km untuk Persona 2022, penulis berjaya mencatatkan 7.8 liter untuk setiap 100 km daripada gandingan pemanduan urban serta lebuh raya.

Bukan satu angka yang impresif, menunjukkan enjin ini memang sudah patut digantikan.

 

2. Ruang kabin dah jadi premium

Persona


Untuk varian Premium, Persona 2022 didatangkan dengan kemasan upholsteri kulit berwarna perang - warna yang lebih kurang sama macam X70.

Penulis tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri, memandangkan sejak dari dulu penulis menggunakan Persona 2018, kerusi Persona merupakan antara yang paling selesa digunakan di dalam kelasnya.

Penggunaan bahan kulit itu menyebabkan ia mampu memegang pemandu dengan lebih erat lagi, terutama ketika melayan selekoh.
 

Persona


Konsol tengah telah direka semula menempatkan sehingga tiga slot meletakkan cawan, beberapa butang fungsi pada bahagian tuil transmisi, dan tidak ketinggalan tempat merehatkan lengan!

Ciri yang memang dinanti-nantikan oleh pemilik Persona, memandangkan ciri yang ada pada Persona generasi kedua itu telah ditiadakan sewaktu pelancaran rasmi generasi ketiga Persona ini beberapa tahun yang lepas.

Selain itu, terdapat penambahan sehingga enam slot USB termasuk satu yang dikhususkan untuk pemasangan kamera perakam pemanduan yang terletak ruang bahagian atas cermin pandang belakang.

Namun, anda mungkin kena beli perakam pemanduan berasingan dari kedai dalam talian macam Shopee atau Lazada, memandangkan ciri tersebut tidak disekalikan sewaktu pembelian.

Secara keseluruhan, penulis amat berpuas hati dengan susun atur ruang kabin yang kini dah menjadi semakin premium tanpa menghilangkan elemen-elemen keselesaan asal Persona.

 

3. Proton masih Champion bab aircond!

Persona


Ciri yang membuatkan kereta Proton masih lagi kereta Proton sehingga kini - pendingin hawa yang memang sejuk kaw-kaw!

Jika dulu kawalan pendingin hawa didatangkan dengan tiga tombol yang besar (dan menjengkelkan pula untuk digunakan), kali ini Persona 2022 datang dengan kawalan pendingin hawa serba baharu dengan paparan digital.

Satu perubahan yang sememangnya dinanti-nantikan.
 

Persona


Untuk mengawal kelajuan kipas juga tidak lagi memerlukan usaha yang kuat, memandangkan satu gerakan atau senggat kecil sudah mampu untuk meningkatkan kelajuan kipas (serta menaikkan atau menurunkan suhu).

Meskipun tiada kawalan iklim automatik atau ciri memori seperti yang terdapat pada model lain dalam segmennya, ia tidaklah menjadi satu masalah besar.

Rata-rata tahu, sistem pendingin hawa Proton mampu bekerja dengan baik, dari dulu sampailah sekarang.

 

4. Skrin infotainmen yang tidak mesra pengguna

Persona


Daripada susun atur papan pemuka, kita beralih kepada satu lagi komponen yang cukup penting untuk menemankan pemanduan kita seharian - sistem infotainmen.

Disebabkan Proton mula menawarkan skrin infotainmen jenis terapung, rekaan corong pendingin hawa telah dialihkan ke bawah, begitu juga dengan gugusan butang fungsi yang kini telah diringkaskan kepada dua punat sahaja, iaitu butang kunci/nyahkunci, serta butang lampu kecemasan.

Skrin infotainmen jenis terapung yang digunakan oleh Proton bersaiz lapan inci dengan sokongan sambungan kepada peranti pintar, penstriman muzik, kawalan pendingin hawa, serta sistem navigasi pemetaan.

Bagi penulis yang sudah terbiasa menambat peranti pintar menggunakan sokongan Bluetooth, penulis mendapati amat sukar untuk menggunakan kembali tetapan tersebut bila mana enjin dihidupkan kembali, di mana sistem lebih cenderung untuk memulakan siaran radio terlebih dahulu sebelum penulis menekan kembali opsyen Bluetooth.
 

Persona


Selain daripada itu, paparan skrin ini juga sukar untuk dibaca ketika berada di bawah cuaca terik, lebih-lebih lagi ketika menggunakan kamera undur walaupun kadar kecerahan paparan telah dipertingkatkan ke tahap maksimum.

Pernah sekali penulis mencuba sendiri sistem navigasi yang dimuatkan, namun tidak sampai 1 km penulis terpaksa membuka aplikasi Waze/Google Maps dalam peranti pintar sebelum meneruskan perjalanan.

Menang dari segi rupa, kalah dari segi penggunaan.

Selain itu, ciri Hi Proton yang sangat terhad itu membuatkan penulis tidak sekali-kali menggunakan ciri tersebut memandangkan capaian tangan jauh lebih cepat dan menyenangkan.

Cuba tanya pengguna iPhone, adakah mereka gunakan kemudahan Siri setiap hari? Tidak bukan?

 

5. Lampu LED, memang terang. Tapi..

Persona


Setelah beberapa kali facelift, akhirnya Proton Persona (dan Iriz 2022) kini didatangkan dengan lampu LED.

Berdasarkan penggunaan di waktu malam, lampu LED yang didatangkan ini memang terang menyuluh jalan yang gelap.

Yang mana ada silau malam tu, minta maaf ya. Apa boleh buat, kereta sekarang rata-ratanya sudah pun lengkap dengan sistem pencahayaan yang moden ini.
 

Persona


Cuma entah kenapa model facelift kali ini ia tidak didatangkan dengan butang untuk melaraskan ketinggian suluhan. Pelik bukan?

Setahu penulis, Persona 2016 dulu memang ada ciri ini.

 

6. Berita buruk buat golongan tiga peratus

Persona


Golongan tiga peratus yang penulis maksudkan ini merujuk kepada golongan pemandu yang masih lagi gemarkan tiga pedal, atau transmisi manual.

Ini kerana, versi facelift kali ini tiada lagi kotak gear manual ditawarkan.

Kalau dulu, Persona merupakan antara model yang disarankan oleh penulis untuk mereka yang mahu merasai pengalaman menggunakan transmisi manual dengan enjin 1.6 liter, disebabkan penawaran transmisi manual pada Iriz sebelum ini hanya dihadkan pada model 1.3 liter sahaja, selepas penawaran pada enjin 1.6 liter digugurkan.
 

Persona
Persona CVT 2022 vs Persona MT 2018


Menurut temubual yang dijalankan bersama Proton tempoh hari, adalah tidak menguntungkan bagi mereka untuk terus menawarkan model yang semakin kurang bilangan penggunanya, dan lebih baik tumpuan diberikan kepada model yang dipilih ramai.

Kini, dengan ketiadaan transmisi manual, kaki kiri anda semua sudah boleh menarik nafas lega ketika memasuki ibu kota.

Selamat jalan, transmisi manual. Jasa anda mungkin akan terus dilupakan oleh generasi akan datang.

 

7. Sistem keselamatan masih di tahun 2014.

Persona


Beberapa tahun lalu ketika Proton mula menawarkan Iriz (diikuti Persona), sistem keselamatan Proton merupakan antara yang terbaik di dalam kelasnya, meninggalkan pesaing-pesaing jauh di belakang.

Itu cerita beberapa tahun lalu, dan sepanjang tempoh dari tahun 2014 sehinggalah sekarang, sistem keselamatan telah berevolusi menjadi semakin baik dan menyeluruh, sesuai untuk kegunaan pemanduan di dalam bandar mahupun di lebuh raya.
 

Persona


Sejujurnya, selepas beberapa kali model facelift dilancarkan, penulis sememangnya mengharapkan Persona 2022 (dan Iriz) bakal dinaiktaraf dengan ciri yang lebih menyeluruh seperti sistem pemantauan titik buta dan amaran lintasan trafik belakang, namun harapan tinggal harapan.

Ya, Persona dan Iriz 2022 masih lagi mengekalkan penarafan lima bintang Asean NCAP, akan tetapi kebanyakan model pesaing sudah pun mempunyai ciri keselamatan yang lebih menyeluruh, jauh lebih lengkap berbanding model kelahiran Tanjung Malim ini.

Malah, sebuah sedan segmen B berharga bermula bawah RM80k sudah pun dilengkapi dengan brek kecemasan automatik secara standard untuk semua varian yang dijual!
 

Persona


Bagi penulis, adalah lebih baik untuk membuang sahaja ciri Hi Proton yang sangat terhad itu, dan naiktaraf spesifikasi keselamatan pada model sedan ini  memandangkan malang tidak akan sekali-kali menyebut HAI kepada mangsanya.

Selain daripada tujuh poin yang disebutkan di atas, penulis tidak menghadapi sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan pengendalian dan pemanduan Persona (meskipun tidak setajam Iriz). Senang cerita, Persona amat sesuai digunakan sebagai kereta keluarga.
 

Persona


Itu sememangnya kekuatan Proton sejak dulu hingga sekarang.

Jadi, dengan harga jualan RM54,900, adakah Persona 2022 masih lagi satu pembelian yang berbaloi?

Untuk kali ini, biarlah penulis menjadi golongan 'baik beli'.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Secara tersuratnya, kedua-dua model tersebut memang nampak cantik dari segi paras rupa serta…