Proton Putra WRC - bintang Proton yang tidak kesampaian

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Gambar Proton Putra WRC ini bukanlah kali pertama dilihat oleh warga netizen, ia telah beberapa kali bertebaran di media sosial sejak beberapa tahun lalu.

Malangnya, hanya gambar sahaja tanpa sebarang penjelasan yang lebih menimbulkan tanda tanya apakah yang terjadi kepada Proton Putra dengan kit badan yang sangat lebar ini. 

Ketika awal kemunculan jenama Proton di Malaysia, mereka mahu mendapatkan kepercayaan dan keyakinan di kalangan pembeli yang rata-ratanya skeptik dengan buatan Malaysia. 
 


Salah satu cara yang diambil, termasuklah menyertai sukan rali di peringkat kebangsaan. 

Di peringkat awal, Proton berjaya merebut kejuaraan rali dengan jentera-jentera seperti Proton Saga, Proton Iswara dan juga Wira. 

Dan jika anda masih ingat, Proton pernah menghasilkan model homologasi rali iaitu Wira 1.8 liter DOHC dengan penambahan beberapa elemen rali seperti spoiler belakang, tempat duduk Recaro dan juga tombol gear dari Momo. 
 


Namun, sekadar menjadi juara di tempat sendiri mungkin tidak begitu memuaskan, dan Proton mahukan lebih daripada itu. 

Maka, timbullah perancangan untuk memasuki peringkat yang lebih mencabar, iaitu World Rally Championship (WRC) dengan menggunakan platform Proton Putra.

Oleh kerana Proton tiada pengalaman bertanding di peringkat yang lebih tinggi, mereka memerlukan bantuan pihak luar dan antara yang dipilih ialah Prodrive. 
 


Entah apa cara, tidak diketahui kerana Prodrive pada ketika itu sudah pun mempunyai hubungan rapat dengan sebuah lagi pasukan WRC, iaitu Subaru. 

Menggunakan khidmat dan pengetahuan daripada Prodrive, Proton Putra telah dibina semula dengan spesifikasi yang ditetapkan oleh FIA untuk WRC tahun 1997.

Enjin 4G63p asal telah dipilih untuk disumbatkan ke dalam ruang enjin dan ditala sehingga mampu menghasilkan 300 kuasa kuda. 
 


Kuasa tersebut disalurkan kepada roda menerusi transmisi sequential enam nisbah kelajuan dari Hewland. 

Namun, sentuhan Prodrive yang paling ikonik sudah semestinya arca roda yang lebih besar di keempat-empat sudut bagi memuatkan rim bersaiz 18 inci OZ yang dibaluti tayar Pirelli.

Dan sekali imbas dengan spoiler yang besar di belakang, anda mungkin menyangkakan ia sebuah kembar kepada Subaru Impreza WRC. 
 


Sayang seribu kali sayang, atas sebab yang tidak diketahui umum, pihak Prodrive kemudian tidak dapat meneruskan projek ini untuk pihak Proton memandangkan ia juga mempunyai kaitan dengan Subaru yang menjadi pesaing pada ketika itu. 

Desas desus juga turut menyatakan penyertaan Proton menimbulkan bantahan dari pihak Mitsubishi yang tidak senang jika rakan teknikal (baca: anak murid) mencabar secara terus di peringkat dunia. 

Sejak daripada itu, dua unit Proton Putra WRC dengan spesifikasi rali terus terbiar sehinggalah pada tahun ini apabila pihak Jay Speed-graphy merakam kembali jentera Putra WRC ini untuk tatapan umum. 
 


Pihak Careta sempat bertanyakan kepada wakil dari divisyen permotoran Proton berkenaan nasib yang bakal dihadapi oleh Proton Putra WRC ini. 

Menurut beliau, pihak Proton akan menjalankan proses restorasi kembali supaya jentera tersebut boleh dipamerkan di CoE atau lebih mesra dipanggil non-running display car atau kenderaan bersatus muzium.

Bagi penulis, adalah lebih baik jika Proton mencari kembali jentera-jentera sukan permotoran (selain daripada Proton Putra WRC) yang pernah disertai suatu ketika dahulu untuk tatapan para peminatnya yang tersendiri. 
 


Setidak-tidaknya, rakyat Malaysia tahu bahawa Proton suatu ketika dahulu sangat gah, cita-cita Proton adalah sangat tinggi, dan boleh dicapai jika tiada sebarang halangan yang melintang. 

Proton Putra WRC merupakan salah satu bintang yang tidak tercapai sehinggalah kemunculan Proton Satria Neo S2000 pada tahun 2009 dengan kerjasama rakan teknikal Mellors Elliot Motorsport (MEM) dari Britain.

Galeri penuh Proton Putra WRC boleh dilihat pada hantaran di bawah.

 

Sumber: Jay's Speed-graphy, Mekanika

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Mujur jentera yang satu ini tidak mengalami nasib yang sama, walaupun kelibat gambarnya yang…