Proton S70 2024: Enam Perkara Yang Perlu Anda Tahu

oleh Mohamad Hanif|
Awal bulan yang lepas, Proton telah pun secara rasmi membuka tempahan bagi model sedan terbaharu S70 2024.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ini menjadikan Proton S70 sebagai model keempat Proton yang wujud sejak kerjasama terjalin dengan Geely, serta model sedan pertama sejak Persona yang dilancarkan pada Ogos 2016.

Kami berkesempatan untuk melihat dengan lebih dekat sedan terbaharu Proton ini, dan berikut enam perkara yang perlu anda tahu:

 

1. Enjin 1.5 liter turbo, tapi...

S70


Kami mulakan artikel ini dengan spesifikasi yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

Sebelum ini Proton mengesahkan S70 bakal dilengkapi dengan enjin 1.5 liter turbo, namun tiada perincian lanjut diberikan.

Info terbaharu, S70 tidak menggunakan nadi TGDI, akan tetapi  menggunakan enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo jenis port-injection, dengan hamburan kuasa 150 PS dan daya kilas 226 Nm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.

Menurut Proton, terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Sport dan juga Comfort.

 

2. Ride & Handling Proton

S70


Antara aspek yang ditekankan oleh Proton sewaktu sesi pra-tonton yang kami hadiri minggu lepas.

Proton menjelaskan, pihak mereka telah memberikan tumpuan pada aspek pengendalian dan pemanduan S70 supaya lebih sesuai dengan keadaan jalan raya di sini, melibatkan 75,000 jam dan jarak 1.2 juta km.

Malah, terdapat tiga talaan stereng disertakan iaitu Normal, Sport dan juga Comfort.

 

3. Sedan segmen apa S70 ini?

S70


Untuk makluman, sedan Proton S70 ini dibangun berdasarkan platform BMA yang dikhususkan untuk kenderaan segmen B (Geely Emgrand, Geely Binyue/Proton X50).

Namun begitu, dimensi Proton S70 ini sebenarnya jauh lebih besar jika dibandingkan dengan sedan-sedan segmen B yang ada di pasaran.

Boleh dikatakan saiznya lebih sesuai untuk dipadankan dengan sedan segmen C seperti Honda Civic dan Toyota Corolla, dengan saiz ruang kargo sebesar 500 liter!

Menguatkan lagi kedudukan S70 di dalam segmen C ialah penggunaan nombor "70" berbanding "50" yang menjadi tekaan ramai sebelum ini.

 

4. Proton S70 bukan sekadar tukar lencana

S70


Walaupun menggunakan asas daripada Geely Emgrand, projek Proton S70 ini menyaksikan pembangunan kira-kira 453 komponen baharu dengan penglibatan daripada 283 pembekal tempatan.

24 daripadanya dibangunkan secara in-house di Proton Tanjung Malim manakala 145 merupakan komponen knocked-down (KD).

 

5. Empat varian

S70


Untuk pasaran Malaysia, terdapat empat varian utama yang ditawarkan.

Versi asas nampaknya sangat asas tanpa kehadiran lampu LED, namun secara standard mendapat kelengkapan seperti enam beg udara, bantuan penukaran lorong, rim aloi 16 inci, tempat duduk fabrik dan skrin infohibur lapan inci.
 

S70


Versi 1.5T Premium pula menambah ciri seperti lampu utama LED, bar lampu belakang, tempat duduk balutan leatherette, sistem pendingin hawa automatik serta kamera undur.

Untuk mereka yang mahukan sedan dengan spesifikasi lengkap, anda boleh mendapatkan S70 1.5T Flagship yang mendapat ciri seperti kelengkapan ADAS, sistem pemantauan tekanan tayar, rim 17 inci, kamera 360 darjah, pengecasan peranti tanpa wayar, skrin kluster digital 10.3 inci dan skrin infohibur sebesar 12.3 inci.
 

S70


Varian Flagship X pula sekadar menambah ciri bumbung suria.

Terdapat tujuh pilihan warna disediakan, iaitu Snow White, Armour Silver, Space Grey, Passion Red, Marine Blue, Quartz Black dan Teal Bayou Green.

 

6. Sistem keselamatan ADAS, tapi hanya untuk 2 varian tertinggi

ADAS


Untuk Proton S70, Proton telah melengkapkan sedan tersebut 12 penderia yang terdiri daripada kamera monokular, dua radar gelombang milimeter di belakang, sistem kamera 360 darjah dan lima penderia ultrabunyi.

Proton S70 dilengkapi dengan kelengkapan bantuan pemandu termaju (ADAS) yang terdiri daripada 13 komponen, seperti berikut:
• Brek kecemasan autonomi
• Amaran Pelanggaran hadapan
• Kawalan Jelajah Adaptif dengan fungsi Stop & Go
• Kawalan Jelajah Pintar
• Amaran Keluar Lorong
• Pengelakan Keluar Lorong
• Kawalan Pemusatan Lorong
• Bantuan Informasi Papan Tanda Trafik
• Kawalan Suluhan Tinggi Pintar
• Bantuan Penukaran Lorong
• Amaran Bukaan Pintu
• Amaran Pelanggaran Belakang
• Amaran Lintasan Trafik Belakang

Seperti yang disebutkan di atas, kelengkapan penuh ADAS ini hanya dikhususkan untuk 2 varian tertinggi sahaja.
 

S70


Yang masih menjadi misteri ialah harga jualan Proton S70. Tunggu sahaja kemaskini lanjut daripada Careta menjelang pelancaran rasmi yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.