PROTON SAGA 2025 SERBA BAHARU HARGA BERMULA RM37,990

oleh Qalif Latif|
Proton memperkenalkan All-New Saga 2025 sebagai evolusi penuh model ikonik negara. Fokusnya jelas pada gaya yang lebih matang, kabin lebih senyap, kecekapan bahan api yang dipertingkat dan nilai mampu milik yang kekal.

Proton Saga 2025

Gril depan diinspirasikan Sulaman Songket yang menggambarkan warisan tempatan disepadukan dengan rekaan Ethereal Bow DRL yang bersambung terus ke lampu utama untuk rupa lebih lebar serta moden. Cermin sisi direka lebih aerodinamik dengan fungsi auto fold dan lampu isyarat LED terbina. Rim Directional Arrow melengkapkan imej yang lebih sporty.

Proton Saga 2025

Bahagian belakang menggunakan lampu 3D offset tail lamp dengan jalur LED penuh yang menghubungkan kedua-dua sisi lalu menyerlahkan lebar visual sedan ini. Trunk lid direka dengan elemen Aero untuk aliran angin lebih baik manakala bampar bawah disempurnakan dengan reflektor mendatar di kiri serta kanan.

 

Proton Saga 2025

Enjin dan Transmisi

Saga 2025 dikuasakan enjin baharu i-GT 1.5L yang menggunakan teknologi Atkinson Cycle bersama Dual Variable Valve Timing (DVVT) dan sistem Electric Water Pump Thermal Management. Enjin empat silinder ini menghasilkan 120 PS (88 kW) serta 150 Nm tork yang menjadikannya antara sedan kompak paling berkuasa dalam kelasnya.

Proton Saga 2025

Ujian rasmi menunjukkan penggunaan bahan api 4.9 liter setiap 100 km bagi varian CVT dan 5.1 liter setiap 100 km bagi varian 4AT berdasarkan kitaran MDC tempatan. Ini mewakili peningkatan penjimatan bahan api sekitar 10 hingga 14 peratus berbanding model terdahulu.

Proton Saga 2025

Transmisi dibahagikan mengikut varian. Standard serta Executive menggunakan kotak gear 4AT manakala Premium dilengkapi CVT generasi baharu yang lebih halus serta efisien.

Enjin i-GT 1.5 ini dibangunkan dengan tiga fokus utama:

  1. Ketahanan (Reliability)
    Enjin ini telah melalui ujian ketahanan intensif melebihi 50,000 jam di mesin dyno selain menempuh lebih 9 juta kilometer ujian jalan di pelbagai negara termasuk persekitaran bersuhu tinggi serta keadaan jalan ekstrem. Hasilnya enjin i-GT terbukti tahan lasak dan stabil untuk penggunaan jangka panjang dalam pelbagai keadaan sebenar.

  2. NVH (Noise, Vibration & Harshness)
    Sebanyak 25.24 peratus pengurangan bunyi dicapai hasil penggunaan Dual Mass Flywheel dan Toothed Timing Chain yang memberikan operasi enjin lebih lancar serta tenang.

  3. Kecekapan (Economical)
    Sistem Atkinson Cycle, DVVT serta Electric Water Pump membantu mengurangkan geseran dalaman dan mengoptimumkan suhu operasi sehingga enjin menjadi lebih efisien serta tahan lama.


Proton Saga 2025

Prestasi dan Keselesaan

Suspensi jenis MacPherson strut di hadapan serta torsion beam di belakang ditala semula bagi mendapatkan keseimbangan antara kawalan badan dengan keselesaan pemanduan. Bahan penebat bunyi tambahan pada lantai, pintu serta bumbung pula menjadikan kabin lebih senyap sehingga 3 dB berbanding Saga terdahulu.

Proton Saga 2025

Kabin dan Teknologi

Bahagian dalaman Saga 2025 memperlihatkan transformasi menyeluruh dengan pendekatan Optimised Intelligence yang menggabungkan gaya moden serta fungsi pintar. Reka bentuk diilhamkan budaya tempatan melalui corong udara Congkak dan kemasan Pantai Wave Design yang memberi tekstur sentuhan unik.

Proton Saga 2025

Buat pertama kali dalam segmen A, Saga hadir dengan paparan berkembar bersepadu 16 inci yang menggabungkan skrin infotainmen 9 inci serta paparan meter digital 7 inci di belakang stereng. Susunan ini memberikan pengalaman visual lebih imersif dengan paparan berwarna penuh untuk informasi pemanduan kawalan media serta sambungan pintar dalam satu susun atur yang harmoni.

Proton Saga 2025

Skrin infotainmen serba baharu ini turut menyokong Wireless Apple CarPlay serta Android Auto sekali gus menjadikan Saga 2025 model pertama dalam kelasnya yang menawarkan sambungan tanpa wayar sepenuhnya. Pengguna juga boleh memilih sambungan berwayar bagi keserasian tambahan yang memberi kemudahan maksimum tanpa kabel berserabut.

Sistem kawalan suhu menggunakan unit CCU dengan butang besar yang mudah dioperasikan. Stereng tiga jejari diinspirasikan kereta sport dengan kawalan media serta kawalan suara pada jari pemandu manakala tempat duduk baharu menawarkan sokongan ergonomik lebih baik. Port pengecas USB termasuk Type C disediakan di hadapan serta belakang bagi kemudahan semua penumpang.

Proton Saga 2025


Keselamatan

Struktur badan dibina menggunakan Reinforced Safety Structure (RESS) dengan komponen HPF untuk kekuatan tambahan. Semua varian dilengkapi sistem brek ABS EBD ESC serta Traction Control manakala varian Premium menambah ciri bantuan pemandu seperti sensor parkir hadapan serta belakang.

Proton Saga 2025

Bagi perlindungan penumpang Saga 2025 kini menawarkan sehingga enam beg udara iaitu dua di hadapan dua di sisi serta dua jenis tirai sehingga menjadikannya antara sedan paling lengkap dalam segmennya. Hill Hold Assist turut disertakan bagi memudahkan pemanduan di kawasan berbukit.

Proton Saga 2025

 

Varian dan Kelengkapan Utama

  1. 1.5 Standard 4AT
    Lampu halogen rim 14 inci single tone dua beg udara serta sistem audio asas.

  2. 1.5 Executive 4AT
    Lampu LED projector dengan DRL skrin infotainmen 9 inci rim 15 inci single tone empat beg udara serta kamera undur.

  3. 1.5 Premium CVT
    Lampu LED penuh enam beg udara rim 15 inci dua tona cruise control push start serta keyless entry.

Harga Pelancaran dan Promosi

Proton mengumumkan harga rasmi All-New Saga 2025 selepas rebat pelancaran seperti berikut:

  1. Saga 1.5 Standard 4AT RM37,990

  2. Saga 1.5 Executive 4AT RM43,990

  3. Saga 1.5 Premium CVT RM48,990

Bersama harga pelancaran ini Proton turut menawarkan pakej promosi awal untuk semua pembeli:

Pro-Warranty
Waranti lima tahun atau 150,000 km termasuk tiga kali servis buruh percuma.

Pro-Trade-In
Overtrade sehingga RM1,500 untuk pelanggan yang trade-in kereta sedia ada.

Pro-Xchange
Overtrade sehingga RM2,000 bagi penukaran kereta lama mengikut terma tertentu. Pelanggan hanya boleh memilih satu sama ada Pro-Trade-In atau Pro-Xchange.

Pro-Finance
Kadar pembiayaan khas bermula serendah 2.6 peratus.

Pro-Shield
Program insurans Proton yang dinaik taraf merangkumi perlindungan banjir kerosakan sendiri serta beberapa perlindungan tambahan bergantung kepada pakej dipilih.

Komitmen Proton kepada pelanggan turut merangkumi servis pantas untuk servis asas penghantaran satu hari untuk servis serta pembaikan kecil dan tempoh WIP tiga hari untuk kes pembaikan lebih kompleks.

Proton Saga 2025

Warna dan Reka Bentuk Rim

Lima warna rasmi diperkenalkan iaitu Deep Marine Blue, Space Grey, Ruby Red, Snow White, serta Armour Silver.

Rim rekaan Directional Arrow hadir dalam tiga variasi:
Premium 15 inci dua tona
Executive 15 inci single tone
Standard 14 inci single tone

Proton Saga 2025

All-New Proton Saga 2025 membawa pendekatan serba baharu terhadap sedan nasional. Dengan enjin i-GT 1.5 yang menggunakan teknologi DVVT serta Atkinson Cycle pilihan transmisi yang dipertingkat kabin lebih senyap serta rekaan diinspirasikan seni Sulaman Songket model ini bukan sekadar kesinambungan. Saga 2025 menegaskan semula kedudukan Saga sebagai sedan paling bernilai dalam pasaran Malaysia dengan pakej teknologi keselamatan serta harga pelancaran yang mesra rakyat.