PROTON Salur Zakat RM64,500 Kepada 11 Penerima

oleh Qalif Latif|
PROTON meneruskan komitmennya terhadap kesejahteraan komuniti sempena musim perayaan tahun ini apabila menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM64,500 kepada 11 penerima di seluruh negara. Sumbangan itu disampaikan dalam satu majlis berbuka puasa yang berlangsung di Putrajaya Marriott Hotel.

Menurut PROTON, bantuan tersebut melibatkan pelbagai inisiatif termasuk pembangunan pusat pembelajaran agama, penambahbaikan kemudahan komuniti, pelaksanaan program pendidikan serta bantuan kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan. Antara penerima yang disenaraikan termasuk Sekolah Agama Rakyat Proton City (SRA), Masjid At-Taqwa Proton City serta organisasi yang menjalankan program Ramadan untuk golongan asnaf dan anak yatim.

 

Darah Biru

Majlis Dihadiri Wakil Kerajaan dan Agensi Berkaitan

Majlis tersebut turut menghimpunkan beberapa pihak berkepentingan utama dan wakil kerajaan, termasuk pegawai daripada Kementerian Kewangan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Kehadiran mereka dilihat mencerminkan kerjasama berterusan antara PROTON dan sektor awam dalam menyokong inisiatif berfokuskan komuniti.

Dalam kenyataan sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir Rashid Musa berkata, syarikat itu percaya tanggungjawab mereka bukan sekadar tertumpu kepada aspek mobiliti semata-mata.

Di PROTON, kami percaya tanggungjawab kami melangkaui aspek mobiliti. Sokongan kepada 11 penerima melalui sumbangan zakat ini mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap pembangunan komuniti serta usaha mewujudkan impak di tempat yang paling memerlukan. Fokus kami adalah untuk memastikan sumbangan ini memberikan nilai jangka panjang sambil memperkukuh komuniti yang kami santuni,” katanya.

Darah Biru

 

PROTON Perkenal Filem Raya Baharu “Darah Biru”

Bersempena majlis berbuka puasa tersebut, PROTON turut mengambil peluang memperkenalkan pratonton filem Hari Raya terbaharunya yang bertajuk “Darah Biru”. Filem itu merupakan kesinambungan kelima dalam siri penceritaan Hari Raya PROTON sejak 2022, dan menjadi antara platform penting jenama itu untuk mendekati rakyat Malaysia melalui karya yang lebih dekat dengan masyarakat.

Darah Biru

Selepas pratonton, “Darah Biru” telah dilancarkan di platform rasmi PROTON seperti Facebook, Instagram dan YouTube. Setakat ini, filem berkenaan dilaporkan telah mencatatkan sebanyak 1.929 juta tontonan. Ia menampilkan pelakon seperti Jalil Hamid, Sathia Periasamy dan Akmal Ahmad, sambil membawa tema perpaduan, ketabahan dan kebersamaan yang dekat dengan suasana Aidilfitri di Malaysia.

Langkah ini memperlihatkan pendekatan PROTON yang bukan sahaja mahu kekal relevan dalam industri automotif tempatan, tetapi pada masa sama terus memperkukuh hubungan dengan komuniti melalui inisiatif sosial dan penceritaan yang lebih bermakna.