Proton sempurnakan pertandingan servis selepas jualan

oleh Mohamad Hanif|
Pusingan akhir Pertandingan Servis Selepas Jualan PROTON 2018 telah disempurnakan dengan jayanya hari ini.

Pertandingan ini telah menarik seramai 189 peserta di seluruh negara dan tiga peserta terbaik dari
setiap wilayah telah bersaing di peringat akhir yang diadakan di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Shah Alam dari 29 September sehingga 2 Oktober 2018.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Majlis penutup telah diserikan oleh YB Dato' Haji Mahfuz bin Haji Omar, Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Pengerusi Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia. Turut hadir ialah barisan pengurusan kanan PROTON.

Pertandingan Servis Selepas Jualan PROTON ini merupakan platform untuk kakitangan selepas jualan mempamerkan kemahiran dan pengetahuan mereka. 

 


Semua juruteknik dan mekanik dari cawangan dan pengedar PROTON digalakkan untuk bersaing antara satu sama lain bagi merebut hadiah wang tunai dan lawatan insentif berjumlah RM50,000.

"Pertandingan ini merupakan sebahagian dari usaha berterusan Syarikat untuk meningkatkan kemahiran juruteknik bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan dan juga memberi ganjaran kepada mereka yang menunjukkan prestasi yang cemerlang. 

Pemenang akan diberikan peluang untuk melawat ke Ibu Pejabat Geely Holdings dan Institut Penyelidikan Geely di China. Lawatan tersebut akan membuka mata juruteknik tempatan kami kerana mereka dapat melihat keupayaan keseluruhan Geely dari segi reka bentuk sehinggalah ke pembinaan sebuah kereta yang lengkap," kata Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

PROTON memulakan inisiatif peningkatan kualiti pada awal tahun ini untuk memastikan semua cawangannya bersedia demi pelancaran Proton X70 baharu akan datang. 
 


Inisiatif ini akan menggariskan kepentingan servis selepas jualan untuk memberikan sokongan terhadap sebuah produk yang akan mencatatkan sejarah untuk Syarikat.


Mensasarkan peningkatan berterusan bagi servis selepas jualan


Menurut Dr. Li, PROTON kini berada di landasan yang betul untuk menambahbaik persepsi pelanggan terhadap jenama. "Dengan pelancaran Proton X70 pada hujung tahun ini, kami perlu memastikan kakitangan servis selepas jualan kami telah dilatih sebaiknya dan mampu mengendalikan model baharu tersebut serta dapat memenuhi permintaan para pelanggan," katanya.

Mempunyai produk yang baik tanpa sokongan servis selepas jualan yang baik akan mengurangkan kesetiaan pelanggan terhadap jenama, justeru kualiti kakitangan servis selepas jualan memainkan peranan penting dalam memastikan kepuasan pelanggan. Oleh itu, PROTON menyediakan latihan berterusan untuk kakitangannya secara berkala dalam memastikan kemahiran mereka sentiasa diasah.

"Kualiti produk dan servis adalah sama penting untuk memastikan keperluan pelanggan dipenuhi, oleh itu kami memerlukan perkhidmatan pelanggan bertaraf tinggi untuk mengekalkan pelanggan sedia ada dan pada masa yang sama menarik minat pelanggan baharu. Kami meningkatkan perkhidmatan menerusi pendekatan holistik untuk memastikan pusat cawangan, pekerja dan produk kami mencapai standard yang ditetapkan," tambah Dr. Li.

 


PROTON MENYEMPURNAKAN PERTANDINGAN SERVIS SELEPAS JUALAN

Sokongan kuat untuk melahirkan bakat muda PROTON telah melibatkan diri secara proaktif dalam pertandingan kemahiran sejak 2003 dan Syarikat memainkan peranan penting dalam membangunkan bakat muda tempatan dalam industri automotif Malaysia.

Selain Pertandingan Servis Selepas Jualan PROTON, acara yang berlangsung di CIAST termasuk tiga lagi pertandingan lain iaitu World Skill Malaysia Belia, Pertandingan Kemahiran PROTON dan Pertandingan Kemahiran Kategori Terbuka. 

PROTON merupakan salah satu rakan strategik yang bekerjasama dengan Kemahiran Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk melahirkan tenaga kerja yang mahir. Pertandingan-pertandingan ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Sumber Manusia.

World Skills Malaysia Belia dianjurkan setiap tahun untuk menyediakan latihan kemahiran yang tepat kepada belia dan mempromosikan inovasi terbaik di peringkat kebangsaan. Seterusnya, ia juga memberi peluang untuk bersaing di Pertandingan Kemahiran Asean dan Pertandingan Kemahiran Dunia. 
 


Pertandingan ini terbuka kepada belia berusia 21 tahun dan ke bawah. Pertandingan Kemahiran PROTON pula terbuka hanya kepada juruteknik dan mekanik dari Pusat Servis PROTON Edar dan pengedar PROTON di luar negara. Bagi Pertandingan Kemahiran Kategori Terbuka, penyertaan terbuka kepada jurulatih dari institusi vokasional dan teknikal, serta juruteknik dan mekanik dari bengkel di seluruh negara, tanpa had umur.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Untuk jenama-jenama automotif premium, EV terus menerus menjadi pilihan. Model-model khusus yang…
Berita Domestik
Transformasi Proton nampaknya semakin menjadi, dan antara fokus aktiviti tersebut ialah peningkatan…