Anak syarikat milik penuh Proton ini akan menguruskan jualan dan pengedaran kenderaan smart, serta kenderaan tenaga baharu (NEV) jenama Proton yang bakal diperkenalkan kelak.

Antara individu yang ditugaskan untuk mengendalikan syarikat tersebut adalah:
Zhang Qiang - Ketua Pegawai Eksekutif
Salawati binti Mohd Yusoff - Ketua Pegawai Jenama
Sua Chek Hoong - Ketua Pegawai Informasi
Pasukan pengurusan ini akan bertanggungjawab kepada lembaga pengarah yang diketuai oleh Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, dan disokong oleh Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton; Wang Huaibing, Ketua Pegawai Kewangan Proton; dan Amran Mohd Tomin, Naib Presiden Modal Insan & Pentadbiran Proton.
Seperti yang dilaporkan, jualan kenderaan elektrik smart dijadualkan bermula pada awal suku keempat 2023 (Q4 2023).

Antara persediaan yang bakal dibuat oleh PRO-NET adalah untuk menyelesaikan isu pengecasan untuk pelanggan, dengan merancang untuk membangunkan rangkaian pengecasan berasaskan rumah dan awam.
“Kajian kami menunjukkan penghalang kepada pengguna untuk membeli kenderaan tenaga baharu terikat dengan kebimbangan mereka tentang ketersediaan rangkaian pengecasan. PRO-NET berhasrat untuk menangani isu ini dengan gabungan pemasangan dan penyelenggaraan pengecas di rumah dengan rangkaian awam komprehensif yang dibina bersama rakan kongsi yang pakar dalam pembangunan dan pengendalian stesen pengecasan.
"Sebagai anak syarikat PROTON, PRO-NET bertanggungjawab memastikan produk dan perkhidmatan kami boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada. Jadi, selain daripada pengecas tetap, kami juga sedang mempertimbangkan penyelesaian mudah alih untuk meluaskan
liputan kami,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.