Proton Wira terbabas dan langgar pokok - identiti tiga mangsa maut dikenal pasti

oleh SALINA JALIL|
gambar ihsan JBPM
Tiga lelaki maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Jalan Klang Lama di sini pada Ahad.


Komander Operasi Kanan, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazri Hasim berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 6.49 pagi.


"Seramai 18 anggota dan pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh dan Pantai bergegas ke lokasi kejadian," katanya melalui kenyataan akhbar pada Ahad.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Mohd Nazri berkata kemalangan tersebut mengakibatkan kenderaan terbabit remuk dan terputus dua bahagian.

 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata mereka yang maut dalam nahas itu dikenal pasti sebagai G Sharvinath, 21, J Jordan Jackson, 19, dan D Hervinraj, 16.

 

"Siasatan awal mendapati pada jam 6.49 pagi, tiga sahabat itu menaiki kereta Proton Wira dari arah Klang Lama menghala ke pusat bandar.

 

"Setibanya di lokasi kejadian, kereta itu telah hilang kawalan, kemudian melanggar batu penghadang jalan lalu berpusing sebelum merempuh sebatang pokok," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

 

Zulkefly berkata, pihak ambulans dari Hospital Kuala Lumpur mengesahkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

 

"Kesemua mangsa dibawa ke Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) untuk bedah siasat.

 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

 

 

Astro Awani