Proton X70: Lima Poin yang Kami Suka Sangat!

oleh Mohamad Hanif|
Ditulis oleh: Hezeri Samsuri

Umum mengetahui saya memang kurang berkenan dengan hasil karya Proton Baharu, iaitu "Proton" X70.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Ya, ia memang sebuah SUV, sesuatu yang didambakan oleh Proton Dahulu tetapi tidak termampu untuk dicapai. Dan ya, ia mempunyai banyak "mainan" yang akan membuatkan pembeli kategori Proton terkinja-kinja tetapi ia adalah satu produk yang telah siap sebelum perjanjian saham dijual.

Namun begitu, menjual sebuah Proton bukannya begitu sukar. Jemput media-media yang setia membantu Proton dari dahulu (termasuk saya suatu ketika dahulu), berikan ceramah selama 45 minit bagaimana Proton mampu menghasilkan gril hadapan dengan usaha tempatan, letak harga yang menarik dan pakej aksesori yang bling-bling - voila! Warga Malaysia akan terus berbangga dengan jenama nombor satu (suatu ketika dahulu) itu.
 

X70


Semasa dilancarkan, X70 ialah produk Proton yang paling berdaya-saing dan paling maju berbanding dengan produk mereka yang dijual di dewan pameran mereka. Saya mencuba memandunya beberapa hari dan saya akui, ia memang sebuah SUV yang sangat selesa dengan beberapa isu kecil yang boleh diabaikan.

Untuk mereka yang mahukan sebuah SUV yang senyap sunyi, selesa dan tidak begitu mahal (berbanding dengan pesaing yang lain), X70 memberikan pakej nilai yang baik. Cuma selepas empat tahun dilancarkan oleh bapa Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamed, Geely dan Proton telah memperbaharui model ini dengan beberapa elemen besar, contohnya enjin yang lebih baharu.

Enjin 1.5L TGDi ini dibina oleh Geely Group dan mengambil masa selama lima tahun dengan bantuan 100 orang pakar, termasuk dari anak emasnya, Volvo.
 

X70


Ujian sejauh 12 juta kilometer dilakukan dan ia kini sudah digunakan oleh lebih dari 750,000 unit kenderaan di seluruh dunia - cukup bukti ia lasak dan boleh diharap serta pastinya, tiga abad lebih maju dari enjin CPS Turbo Proton.

Ia menghasilkan 177PS dan 255 Nm dan untuk Proton, enjin ini dipasang di Tanjung Malim sendiri.

Bagaimana enjin ini dibandingkan dengan enjin 1.8L TGDi yang masih boleh dibeli untuk X70 varian 1.8 TGDi Premium 2WD? Jom kita lihat perbandingan kuasanya.

Kuasa maksimum
•    Enjin 1.5L TGDi - 177PS @ 5,500 rpm
•    Enjin 1.8L TGDi - 184PS @ 5,500 rpm

Daya kilas maksimum
•    Enjin 1.5L TGDi - 255Nm @ 1,500 - 4,000 rpm
•    Enjin 1.8L TGDi - 300Nm @ 1,750 - 4,000 rpm


Kedua-duanya menggunakan transmisi yang sama - DCT 7-kelajuan dengan mod manual.
 

X70


Di atas kertas, enjin lama itu masih nampak berkuasa tetapi dari pengalaman saya, tidak ada apa yang boleh menggantikan pandu uji sebenar kerana berat, nisbah gear, saiz tayar, talaan enjin dan pelbagai faktor lain akan memainkan peranan dalam prestasi sebenar di atas jalanraya.

Kerana saya sayang sangat kepada Proton Baharu ini, saya juga mahu gunakan laluan jauh lazim saya untuk tujuan itu. Laluan yang dipilih ialah lebuhraya PLUS dari Kuala Lumpur terus ke Johor Bahru, dan kemudian melencong ke laluan persekutuan di sekitar Gelang Patah sehingga ke Pendas.

Laluan yang sama telah saya gunakan untuk X70 1.8L dan juga Proton X50 dengan enjin 1.5L TGDi juga, selain dari SUV-SUV dari jenama pesaing.

Jadi mari kita lihat siapa yang kena!

 

Rekabentuk luaran

X70


Err... mari kita lompat ke segmen lain kerana perubahan yang dilakukan terlalu sedikit. Malah, tidak ada satu lencana pun yang menunjukan ia menggunakan enjin yang lebih baharu. Masih kekal, lencana "penepek besi" pada pintu yang menunjukan ia menggunakan teknologi turbo TGDi.

Oh ya, roda aloi 19-inci yang baharu itu memang nampak lebih cantik.

 

Rekabentuk dalaman.

X70


Juga masih sama, dengan skrin LCD sesentuh yang besar dan memanjang, dan papan pemuka ala Eropah lengkap kemasan aloi.

Paparan meter digital juga masih sama - sarat dengan pelbagai informasi sehingga tersampuk masalah "visual overload". Mungkin Geely boleh meminta perekabentuk mereka untuk faham konsep "less is more" untuk nampak lebih eksklusif.

Untuk sebuah SUV segmen C, ia mungkin tidak mmempunyai kabin yang paling luas tetapi masih cukup ruang untuk empat sekeluarga, atau lima dengan anak kecil.
 

X70


X70 masih kekal dengan pelbagai ciri-ciri dan gajet yang akan menarik perhatian pembeli pertama SUV segmen ini. Contohnya, kawalan suara yang mampu menurut banyak perintah anda, sistem audio talaan Kenwood, kamera parkir 360-darjah yang jelas, bumbung suria dan suara yang memberitahu anda segala kejadian di dalam X70 ini, contohnya ia akan mengumumkan anda sudah menurunkan suhu pendingin hawa.

X70 ini umpama kapal angkasa Battlestar Galactica berbanding dengan model-model Proton sebelumnya.

 

Pemanduan, bab paling penting

X79


Lebih dari 20 tahun dahulu, saya bermain dengan enjin-enjin Mitsubishi untuk dimasukkan ke kereta Proton. Dari enjin 4G91 DOHC ke varian-varian enjin 4G93 hingga ke enjin legenda 4G93 turbo, disumbatkan ke model Wira, Satria, Putra dan Persona.

Bunyinya mudah tetapi untuk menjadikan ia benar-benar sempurna, tak akan dapat dilakukan di bengkel-bengkel. Untuk kenderaan yang mahu dihomologasi dan dijual secara rasmi, pelbagai faktor lain perlu diselesaikan.

Antara yang paling sukar ialah untuk membuang getaran halus akibat percanggahan getaran dari enjin ke kerangka kenderaan - "harmonic resonance". Ini memerlukan kepakaran kejuruteraan automotif untuk diselesaikan.

Selepas itu, nisbah transmisi pula perlu diubah untuk menyesuaikan kenderaan itu dengan fungsinya dan akhir sekali, talaan kepada sistem gantungan kerana enjin yang baharu bermakna perubahan kepada nisbah berat depan dan belakang.
 

x70


Ini belum masuk masalah pengurusan haba di bawah hud itu, serta aspek keselamatan ketika perlanggaran.

Yang pasti, jurutera Geely telah menghasilkan sesuatu yang menjadikan X70 ini lebih, hmmm... sporti.

X70 dengan enjin 1.8L TGDi kini terasa lebih "relaxed" dan sangat "dewasa" kerana talaan yang lebih lembut dan sistem gantungan yang terlebih selesa. Ia sangat berlainan sebenarnya dari X70 dengan enjin 1.5L TGDi ini.

X70 "kecil" ini mempunyai daya pecutan dan daya tujahan yang lebih dari mencukupi. Di atas lebuhraya, ia memecut dari 80 kmsj sehingga ke 180 kmsj dengan cukup pantas.
Selepas itu, ia perlahan-lahan menyeberang sempadan 200 kmsj.
 

X70


Pada kelajuan itu, X70 1.5L TGDi ini tidak ada langsung sifat melayang-layang. Ia memecut tegar dengan mantap, dan selekoh besar dan panjang ditelan bulat-bulat tanpa sebarang aduan.

Di dalam bandar, sistem gantungan terasa sedikit keras berbanding abangnya dengan enjin 1.8L TGDi, tetapi ia adalah satu kekurangan kecil berbanding dengan rasa sporti yang jauh lebih menyeronokan.

Enjin 1.5L itu juga tidak ada sebarang masalah untuk dipandu selaju itu untuk beberapa minit, bukti bahawa ia adalah sebuah enjin yang matang. Tukaran gear dari transmisi DCT dwi-klac itu langsung tidak terasa, cuma ia tidak begitu gemar untuk turun ke gear lebih rendah dari 4. Mungkin ia diprogram untuk "menjaga" dirinya dari dirogol oleh pemandu agresif.

Di laluan persekutuan, ia tidak begitu sporti jika dibandingkan dengan sebuah kereta. Titik graviti yang tinggi masih memberikan rasa gayat ketika membelok tetapi jika anda brek awal, anda boleh mengambil selekoh dengan kelajuan yang tepat dan sebaik sahaja ia sampai ke titik apeks selekoh, anda sudah boleh "berdiri" di atas pendikit untuk merasakan pecutan yang cukup baik sehinggakan anda terbayang sedang memandu sebuah jenama Eropah.
 

X70


Ya, saya seronok memandu X70 varian ini dan rasa ia lebih sesuai dengan gaya pemanduan saya berbanding dengan X70 1.8L abah-abah itu.

Kabin X70 juga adalah antara kabin SUV paling senyap yang saya pernah alami untuk sesuatu dengan bajet di bawah RM200,000. Geely diberitakan memberi penumpuan khusus dalam memastikan bunyi luar tidak masuk ke kabin dan ini adalah antara ciri X70 yang sering dijeritkan oleh pemilik-pemiliknya.


Kesimpulannya?

Untuk mereka yang mahu berhijrah ke dunia SUV segmen C, Proton X70 1.5L TGDi ini memang tidak mengecewakan. Jika anda suka bentuknya, anda pasti suka akan prestasi pemanduan yang ditawarkan dan yang sahih, harganya.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Difahamkan, suami mangsa sedang menjalankan urusan jual beli manakala kedua-dua mangsa berada dalam…
Berita Domestik
Pay & Go merupakan aplikasi pembayaran pintar tempatan dari Sarawak yang boleh digunakan untuk…
Berita Domestik
Ia sudah boleh ditempah di semua pusat pengedar Proton bermula 4 Julai 2023. Proton X70 Premium X…