Toyota Australia baru-baru ini memperlihatkan sebuah model prototaip Hiace yang dilengkapi dengan enjin pembakaran dalaman dengan suapan bahan api hidrogen.
Difahamkan, sebanyak tujuh buah Hiace berkuasa hidrogen itu akan digunakan dalam program perintis bermula bulan ini.
Tidak seperti Hiace versi standard, Hydrogen Hiace ini didatangkan dengan enjin 3.4 liter bentangan V6 turbo berkembar yang telah diubahsuai terutama pada bahagian penyuntik bahan api supaya mampu menerima gas hidrogen.
Dengan enjin tersebut, Hydrogen Hiace itu mampu menghasilkan kuasa setinggi 161 hp dan daya kilas 345 Nm, kurang bertenaga berbanding enjin asal (409 hp, 650 Nm) sebelum dipadankan dengan sistem pacuan roda belakang menerusi transmisi automatik 10 nisbah kelajuan.
Hydrogen Hiace ini juga menggunakan tiga tangki hidrogen yang sama wujud pada Toyota Mirai FCEV.
Menurut Toyota, Hydrogen Hiace prototaip ini dikatakan mampu bergerak sejauh 200 km untuk setangki hidrogen penuh, jauh lebih rendah berbanding Mirai yang mampu bergerak sejauh 650 km.
Selain itu, Toyota Hiace telah dipilih sebagai model ujian disebabkan trenkuasa yang digunakan itu memberikan impak yang minimum terhadap had muatan dan keluasan ruang kabin.
Ini merupakan kali pertama Toyota menggunakan teknologi pembakaran hidrogen pada nadi kuasa melebihi tiga silinder.
Sebelum ini, teknologi yang sama digunakan pada enjin GR Yaris, sebelum diuji dengan lebih menyeluruh pada model kereta lumba Corolla Sport dan crossover Corolla Cross H2 Concept.
Presiden kilang hidrogen Toyota Mitsumasa Yamagata menjelaskan pembangunan Hydrogen Hiace ini memakan masa sekitar tiga tahun dan pihaknya berminat untuk menjadikan projek Hydrogen Hiace ini satu realiti secepat mungkin, berdasarkan laporan CarExpert.
Buat masa ini, Toyota sendiri belum membuat keputusan untuk meletakkan Hydrogen Hiace Prototype ini sebagai model produksi sebenar.