Prototaip Y-Suku elektrik Umorie - caj penuh 3 kali lebih pantas!

oleh HEZERI SAMSURI|
Prototaip Yamaha Y-Suku elektrik hasil syarikat tempatan UMorie memang menarik perhatian ramai kerana teknologi elektrik yang dibangunkan.

Careta menemubual Ketua Pegawai Operasinya, Suria Affendi Amirrudin ketika sesi tunggang-uji tertutup motosikal elektrik mereka di pejabat Careta dan beliau berkongsi beberapa ciri teknikal yang digunakan untuk membuat prototaip tersebut.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Suria berkata komponen yang digunakan memang datang daripada China, tetapi menurut spesifikasi yang ditetapkan oleh Umorie.

"Saya memang fasih dengan selok belok vendor dan pengilang dari China kerana saya sudah lama menganjurkan kursus di mana saya membawa peniaga dari Malaysia ke Guangzhou," terang Suria yang juga menjadi pengasas kepada projek asal Trip Borong Guangzhou.

"Jadi saya pastikan spesifikasi komponen untuk prototaip ini menurut hasil kajian Umorie agar hasilnya tepat untuk ujian-ujian tempatan," sambungnya lagi.

Yamaha Y-Suku menjadi pilihan Suria kerana beliau mahu rakyat Malaysia melihat prestasi sebuah motosikal yang diminati ramai dalam bentuk kuasa elektrik. 

Modifikasi dilakukan oleh pemilik Eastern Bobber, Omar Jumiran dan beliau mengambil masa selama tiga minggu untuk menyiapkan projek prototaip itu.

 

 

"Ia bukan satu projek yang terlalu sukar. Setelah saya bayangkan posisi semua komponen-komponen elektrik pada Yamaha ini, apa yang tinggal ialah untuk memastikan kedudukannya kukuh dan selari bagi memastikan keseimbangan yang baik ketika menunggang," Omar menerangkan.

"Paling leceh ialah memuatkan meter digital itu ke panel meter asal Yamaha ini. Itu memang memerlukan kesabaran dan pada saya, ia masih boleh dibaiki," katanya.

Hasilnya ialah sebuah Yamaha Y15ZR yang nampak standard, kecuali kotak bateri di bahagian bawah enjin dan pulley besar di belakang. Tidak ramai yang sebenarnya perasan ini ialah motosikal istimewa, cuma pemilik-pemilik motosikal yang sama akan tercari-cari ekzos dan juga memerhatikan pulley besar itu.

Kelajuan maksimum motosikal elektrik Umorie ini memang telah dijangka tidak selaju motosikal asal dengan enjin empat-lejang.

Menurut Suria, ia mendakwa kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 132 km/j. Namun begitu, dengan kadar daya kilas maksimum boleh dicapai dari sifar RPM, daya pecutan prototaip ini seperti Yamaha Y15ZR diikat dengan sebuah enjin jet.

 

 

 

Ujian Careta mendapati untuk sebuah prototaip, ia mempunyai hasil kerja yang kemas dan kualiti tunggangan yang sama seperti sebuah motosikal baharu. Tidak ada yang pelik, atau bunyi besi berkeriuk dan komponen yang tidak begitu berfungsi. Semuanya seperti sebuah motosikal yang baru keluar dari kilang.

Daya pecutan ketika keluar dari selekoh benar-benar menguji cengkaman tayar belakang standard Yamaha dan sistem gantungan belakang. Ujian pecutan tidak rasmi dengan sebuah SYM VF3i 185 standard membuktikan Umorie elektrik ini terus meninggalkan SYM itu dari awal, sehingga mencecah kelajuan 80 km/j sebelum motosikal berenjin itu memintas.

Umorie bercadang untuk terus menguji motosikal ini dan menghasilkan bateri baharu yang lebih baik.

"Buat masa sekarang, kami menggunakan bateri Lithium Ion yang sebenar dan juga sistem "mid-motor" terkini untuk prestasi terbaik. Untuk teknologi bateri, Umorie bekerjasama dengan NanoMalaysia Berhad, sebuah syarikat yang ditubuhkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)," ujar Suria.

 

 

"Kami memang mempunyai perancangan yang menarik demi untuk memastikan Malaysia tidak tertinggal di dalam perlumbaan EV. Malaysia sebenarnya mempunyai banyak bakat-bakat dalam bidang R&D tetapi kita terpaksa bermula dari bawah kerana kita tidak mempunyai syarikat kenderaan yang membenarkan ujian-ujian teknologi tempatan dilakukan," terangnya.

Suria berkata beliau pernah mencuba untuk membuat kolaborasi dengan sebuah syarikat motosikal tempatan tetapi ditolak kerana mereka pernah menghasilkan motosikal elektrik tetapi tidak mendapat sambutan.

"Mungkin ada syarikat-syarikat automotif lain yang berminat kerana teknologi bateri yang kami bangunkan adalah yang pertama di dunia dan sekarang ini cuma menunggu ujian-ujian terakhir," katanya lagi.

 

digital meter umorie

 

Risik-risik Careta mendapati antara projek yang sedang dibangunkan oleh Umorie dan rakan teknologinya ialah "super battery" yang boleh dicaj dengan lebih pantas, sistem sel bahan api hidrogen yang sangat kompak dan pernah diuji dengan dron serta satu lagi sumber tenaga menggunakan bahan dari kelapa sawit.

Buat masa sekarang, selain dari membuat penyelidikan bateri, produk bateri Umorie sebenarnya sudah berada di pasaran dalam bentuk power bank yang mampu menghidupkan (jump start) enjin kereta dan juga trak pikap. Produk itu ada terjual di stesen-stesen minyak tempatan dan juga di Jepun. Ia turut memenangi anugerah rekaan terbaik dari Jepun.

 

 

Di bawah ialah ciri-ciri teknikal prototaip Yamaha Y-Suku elektrik dari Umorie.

Kategori: Moped (motosikal kapchai)
Bateri: Lithium Ion (pouch cell)
Berat bateri: 25 kg
Kapasiti bateri: 4,320Wh (72V 60Ah)
Kelajuan maksimum: 132 kmsj
Jarak perjalanan sekali caj: 130 km (ujian makmal)
Arus kemasukan: 15A
Kelajuan mengecaj bateri: 3 kali ganda lebih laju dari skuter elektrik dalam pasaran tempatan
Tempoh mengecaj bateri: 4 jam (dari kosong sehingga maksimum)
Jangka hayat bateri: 156,000 km (56,000 km lebih lama dari saingan tempatan)
Jenis motor elektrik: Mid-Drive dengan fungsi undur (reverse)
Kuasa maksimum: 4,000W
Daya kilas: 100 Nm
Mod tunggangan: Mod 1 (45 kmsj), Mod 2 (65 kmsj) dan Mod 3 (kelajuan maksimum)
Butang Sport: Mod override untuk mencapai kelajuan maksimum dalam apa jua mod
Harga: Bukan untuk jualan

Di bawah ialah video tunggang uji Careta untuk prototaip Umorie itu.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Ia juga mendapat pujian dari rakyat US yang rata-rata bangga produk tempatan mereka sama bagus…
Berita Domestik
Setelah beberapa laman web automotif menyiarkan tekaan mereka, akhirnya laman rasmi Hong Leong…