Pukul warga emas guna topi keledar, pemuda 27 tahun ditahan

oleh Penyumbang Rencana|
foto tangkap layar dari video
Seorang pemuda berusia 27 tahun ditahan polis selepas tular video suspek memukul seorang lelaki warga emas menggunakan topi keledar hingga mangsa rebah dalam kejadian di Cheng, Melaka, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 17 saat itu yang dimuat naik di Facebook pada Sabtu, memaparkan pergaduhan di persimpangan masuk Taman Cheng Utama.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 27 Mac lalu, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di jalan raya, yang kemudian berlarutan menjadi insiden fizikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Christopher, mangsa berusia 52 tahun telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk memberi keterangan dan diberikan borang Pol 59 bagi mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Suspek kini dalam tahanan polis, sementara pihak berkuasa sedang dalam proses merampas motosikal, topi keledar dan pakaian yang dipakai semasa kejadian untuk tujuan siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.

Dalam pada itu, Christopher menasihati orang ramai untuk bersabar dan mengawal emosi bagi mengelak insiden pergaduhan yang boleh membawa kepada perbuatan jenayah.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Melaka Tengah atau balai polis berhampiran.

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, perbuatan tersebut boleh menjejaskan kawalan kenderaan, mengganggu tumpuan pemandu…
Berita Domestik
"Daripada jumlah itu, sebanyak 87 stesen minyak terletak di kawasan sempadan manakala 64 lagi…
Berita Domestik
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, berkata 205 kenderaan diperiksa dan 132 kenderaan…