Pulau Pinang dicadang bangunkan sistem BRT ganti projek LRT

oleh Mohamad Hanif|
gambar sekadar hiasan
MCA mencadangkan agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggantikan projek Transit Aliran Ringan (LRT) kepada sistem Transit Aliran Bas (BRT) di negeri itu kerana kosnya lebih murah.

PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Setiausaha MCA Pulau Pinang Yeoh Chin Kah berkata selain itu, BRT juga dapat dibina lebih cepat iaitu dalam tempoh setahun sahaja dan lebih sesuai bagi penduduk di pusat bandar.

"Jika kerajaan negeri melabur kira-kira RM4.4 bilion untuk projek BRT, kerajaan boleh membina sehingga 426 kilometer (km) lorong bas BRT, tetapi jika untuk LRT hanya boleh membina 40 km manakala 14 km sahaja untuk MRT bertingkat dengan jumlah wang yang sama.

"Pembinaan sistem BRT juga sebenarnya mempunyai liputan yang lebih luas daripada LRT malah ia boleh menggalakkan aktiviti berjalan kaki dan berbasikal di bandar yang sangat sesuai untuk Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari yang berkata projek LRT Bayan Lepas telah mendapat kelulusan daripada agensi teknikal utama seperti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLAN Malaysia).

Zairil dilaporkan berkata komponen LRT Bayan Lepas adalah satu daripada komponen utama dalam Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang dan ia adalah strategi jangka panjang untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini.

Mengulas lanjut, Yeoh berkata BRT juga boleh dibina dengan mempunyai fungsi LRT antaranya tempat letak kereta bertingkat, malah BRT juga boleh dibangunkan dengan dilengkapi sistem untuk mengesan bilangan orang yang menunggu di setiap stesen bagi melaraskan kekerapan bas dan kerajaan negeri juga boleh menanggung kos projek itu tanpa bergantung kepada kerajaan pusat.

''Banyak bandar di China mempunyai sistem transit pantas dengan menggunakan bas seperti di Beijing, Hangzhou, Guangzhou dan lain-lain yang membawa 4.3 juta penumpang sehari dan menyelesaikan masalah kesesakan bandar," katanya.

Beliau berkata BRT juga boleh menggunakan tenaga elektrik yang mesra alam dan bas mini boleh dicadangkan untuk membawa penumpang dari setiap stesen BRT ke tempat tumpuan paling dekat dengan rumah kediaman penumpang.

Sumber: Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata kebenaran merancang bagi projek mega Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM250…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, semakan lanjut mendapati…
Berita Domestik
Baru-baru ini, Tesla mengumumkan pengembangan rangkaian pengecasan Tesla ke Pulau Pinang dengan dua…