Dari Kereta Sports Jadi Studio Bergerak
Boxster S tersebut dengan enjin 2.5 liter turbo 350 hp (355 PS) diubah secara menyeluruh untuk tugas baharu ini. Bumbung lembut asal dibuang, digantikan dengan roll bar tinggi yang turut berfungsi sebagai titik pemasangan kamera. Seluruh badan kereta disalut kemasan matte black bagi mengurangkan pantulan cahaya semasa penggambaran.

Besi penyokong khas dipasang di bahagian depan, sisi dan belakang bagi membolehkan pelbagai rig kamera atau jurugambar berdiri di posisi berbeza. Bahagian but depan dan belakang pula dilapik serta dipasang dengan harness supaya jurukamera boleh duduk atau berdiri dengan selamat walaupun kereta bergerak laju.
Di ruang tengah antara tempat duduk turut dipasang platform berdiri serta sistem wayar lengkap untuk sambungan kamera dan laptop, manakala inverter dalaman membekalkan tenaga kepada semua peralatan rakaman.

Digunakan Secara Aktif Oleh Porsche
Walaupun dibina sebagai projek pelatih, Boxster ini bukan sekadar pameran. Ia digunakan secara meluas oleh Porsche di Experience Center Leipzig dan juga dalam penggambaran luar, termasuk acara mendaki bukit di Itali. Selama bertahun-tahun, ia menjadi ‘pemburu’ di belakang lensa, mengekori model-model superlaju Porsche untuk mendapatkan rakaman aksi yang sempurna namun kekal rahsia di sebalik tabir sehinggalah kini.

Akhirnya Di Depan Lensa
Selepas hampir lapan tahun berkhidmat, Porsche kini menampilkan Boxster khas ini kepada umum sebagai penghargaan kepada kreativiti dan kemahiran pelatih yang membinanya. Ia bukan sekadar simbol kejuruteraan, tetapi juga bukti bagaimana semangat inovasi dalam jenama Stuttgart itu hidup subur walaupun di bengkel pelatihnya.
Di Sebalik Lensa
Idea menggunakan kereta berkuasa tinggi sebagai platform kamera bukan perkara baharu, namun jarang dilakukan dengan begitu ekstrem. Dalam dunia fotografi automotif, jurukamera selalunya perlu berada sangat dekat dengan kereta yang sedang meluncur atau drift pada kelajuan lebih 130 km/j. Di sinilah konsep camera car seperti Boxster ini memainkan peranan penting, dengan kestabilan, kuasa dan keseimbangan menjadikannya sempurna untuk rakaman dinamik tanpa mengorbankan keselamatan.

Sumber: Carscoops