Ram 1500 Revolution BEV Concept - trak pikap elektrik dengan tiga baris tempat duduk!

oleh Mohamad Hanif|
Bertempat di acara CES 2023 di Las Vegas, Ram memperlihatkan secara rasmi model Ram 1500 Revolution BEV Concept yang bakal memberikan saingan rapat kepada trak pikap elektrik saiz penuh seperti Ford F-150 Lightning dan Rivian R1-T.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Tidak banyak informasi didedahkan oleh Ram buat masa ini.

Namun, pengeluar itu mengesahkan trak pikap ini dibangun menggunakan pelantar STLA Frame dengan binaan badan body-on-frame (tidak seperti Chevrolet Silverado EV), diikuti dengan konfigurasi motor elektrik berkembar.
 

Ram


Ram 1500 BEV ini juga mempunyai sistem 800-voltan yang menyokong pengecasan sehingga 350 kW, di mana pemilik boleh menambah jarak sehingga 161 km dalam tempoh 10 minit sahaja.

Kapasiti pek bateri tidak diketahui, namun platform STLA Frame ini dijangka mampu menyokong jarak gerak sehingga 800 km untuk sekali cas penuh.

Selain itu, ia juga dipadankan dengan sistem suspensi udara boleh laras ketinggiannya serta sistem stereng empat roda di mana gandar belakang membenarkan artikulasi roda sehingga 15 darjah.
 

RAM


Di rumah, sebuah robot pengecas induktif akan menjadi pembantu anda untuk mengecas trak pikap ini secara automatik, namun pada kadar kelajuan pengecasan yang rendah.

Ram 1500 Revolution BEV Concept ini dipasangkan dengan rim bersaiz 24 inci dengan logo tengah RAM beriluminasi, dibaluti tayar off-road bersaiz 35 inci.

Jika anda perasan, rekaan fender hadapan dan belakang agak lebar sekaligus menjadikan penampilan trak ini lebih atletik.
 

ram


Muka depan trak ini dihiasi dengan lampu LED bermotifkan garpu tala (tuning fork) yang mengapit logo RAM yang juga bercahaya.

Tanpa kehadiran tiang B dan dibantu dengan bukaan pintu suicide, anda akan mendapati urusan keluar masuk yang lebih mudah dan menyenangkan.

Trak Revolution ini sarat dengan gajet-gajet moden seperti skrin paparan pada roda stereng, paparan tengah 14.2 inci yang boleh dicabut dan digunakan sebagai sebuah tablet, paparan head-up dengan teknologi realiti terimbuh, dan pakej pemanduan autonomi Tahap 3.

Terdapat satu ciri yang dinamakan sebagai mod bayang yang membolehkan trak ini bergerak perlahan di belakang pemandu yang berjalan kaki persis seekor anjing yang bersiar-siar di taman bersama tuannya.  
 

ram


Ciri unik yang ada pada trak ini ialah kehadiran tempat duduk baris ketiga yang dicantumkan terus pada pintu tengah.

Jika anda memerlukan ruang lebih untuk mengangkut barang, buka sahaja pintu tengah itu dan anda boleh memuatkan barangan sehingga sepanjang 5,486 mm.

Sistem modular yang dikenali sebagai Ram Track membolehkan kedudukan kerusi dan konsol diposisikan dengan mudah untuk menyediakan ruang kerja yang diperlukan.
 

ram


Akhir sekali, bumbung kaca panorama gergasi dengan teknologi elektrokromatik yang membolehkan anda menetapkan kadar penembusan cahaya mengikut keperluan.

Model konsep yang dipamerkan di CES 2023 ini akan muncul dalam versi produksi menjelang tahun 2024 (sebagai model tahun 2025).