RAMAI TIDAK PERBAHARUI LESEN MEMANDU, CUKAI JALAN

oleh Hamimah Hamid|
LEKA dan tidak menyedari pemberian moratorium untuk memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LLM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) sudah pun tamat sejak Januari lalu menyebabkan ramai pemandu kenderaan perdagangan memandu dengan lesen tamat tempoh.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, kebanyakan pemandu juga memberi alasan terlupa untuk memperbaharui LMM dan LKM mereka.
AION MREC Banner Campaign May 2024

“Mereka masih leka dengan moratorium lagi. Kalau ikutkan lesen memandu tamat tempoh mengikut tarikh lahir, jadi kita mengharapkan setiap kali menyambut hari kelahiran tengok lesen.

“Kalau terlepas tempoh perbaharui lesen, lekas perbaharui di kaunter JPJ berdekatan. Kita juga ada perkhidmatan di pejabat pos yang boleh membantu mereka selain rakan strategik iaitu Myeg,” katanya.

Pegawai jpj sedang memeriksa kenderaan perdagangan

Beliau berkata demikian kepada media pada Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan Plaza Tol Ipoh (U), Lebuhraya Utara Selatan, malam tadi.

Menurut Mohammad Yusoff, operasi bersepadu tersebut membabitkan 96 anggota terdiri daripada JPJ, polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Unit Peronda Lebuh Raya, Jabatan Imigresen Perak, Jabatan Pendaftaran Negara dan PLUS.

Katanya, operasi selama empat jam bermula 8.30 malam itu turut memberi fokus kepada kenderaan perdagangan yang membawa muatan melebihi had dibenarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 selain mengesan kesalahan teknikal lain.
Ujar beliau, dalam operasi itu sebanyak 159 saman dan notis dikeluarkan oleh JPJ atas pelbagai kesalahan manakala 101 notis lagi dikeluarkan oleh pihak polis.

Katanya, Jabatan Imigresen turut menahan lima individu manakala saringan air kencing dilakukan AADK turut mengesan tiga pengguna lebuh raya itu positif dadah.