RANGER TONTO TERBABAS DIKEJAR POLIS

oleh Penyumbang Rencana 2|
TINDAKAN sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang diupah sebagai tonto melarikan diri daripada pihak polis mengundang padah apabila kenderaan terbabit terbabas di bahu jalan berhampiran Tasik Banding, kelmarin.

Dua lelaki masing-masing berusia berusia 43 dan 35 tahun berasal dari Kelantan yang bertindak sebagai mata-mata kepada sindiket pengedaran daun ketum itu juga telah ditahan pukul 7 petang kelmarin.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, sindiket ketum yang berpengkalan di Kelantan telah mengupah dua lelaki terbabit dengan upah RM500 seorang sebagai tonto yang berperanan sebagai pemberi maklumat dan berada di sekitar kawasan sekatan jalan raya (SJR) untuk memerhati pergerakan pihak berkuasa.

Katanya, helah itu bagaimanapun terbongkar selepas polis daerah Gerik mematahkan cubaan menyeludup empat tan daun ketum bernilai RM120,000 di sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 9, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik-Jeli berhampiran Sungai Lebey.

ketum 4 tan yang berjaya dirampas

“Polis menahan sebuah lori tiga tan dipandu lelaki berusia 31 tahun ketika pemeriksaan pada pukul 7 petang. Siasatan ke atas pemandu lori berasal dari Kelantan itu mendedahkan terdapat lagi dua lelaki dipercayai tonto menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

“Berdasarkan maklumat itu, kita telah mengesan dan mengekori kenderaan berkenaan sejauh 30 kilometer sebelum ia terbabas di tepi jalan dekat Banding,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, hari ini.

Menurut Superintenden Zulkifli, siasatan juga mendapati sindiket terbabit menggunakan kenderaan perdagangan dengan nombor pendaftaran palsu untuk menyeludup bahan terlarang tersebut.

ranger tonto yg terbabas yg turut dirampas

“Hasil pemeriksaan ke atas lori itu polis telah menjumpai 400 bungkus plastik hitam berisi 4,000 kg daun ketum dengan nilai pasaran dianggarkan berjumlah RM120,000.

“Modus operandi yang telah kita kenal pasti yang dilakukan oleh penjenayah ini adalah mereka menggunakan lori bagi mengaburi pihak berkuasa, mereka menggunakan lori perdagangan untuk mengaburi pihak berkuasa seolah-olah mereka menjalankan aktiviti perdagangan,” katanya.

lori yg menggunakan nombor pendaftaran palsu

Ujar beliau, siasatan juga mendapati sindiket itu juga merancang menukar pemandu lori dan nombor pendaftaran kenderaan selepas SJR di Kilometer 9 sebelum mereka memasuki Kelantan.

Katanya, bekalan daun ketum itu diambil dari Kedah untuk dibawa ke Kelantan sebelum diagihkan ke kawasan tertentu bagi pasaran tempatan.

Superintenden Zulkifli berkata, ketiga-tiga suspek kini direman empat hari bermula semalam sehingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.


 

Artikel oleh: Hamimah Hamid dan Mohd UmzarulFaiz Umar