Rapid Bus, DBKL bekerjasama dalam projek percubaan lorong bas di Jalan Ampang

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Rapid Bus, selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL dan bas perantara MRT, akan mula melaksanakan projek percubaan lorong bas di Jalan Ampang dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada hari Isnin, 3 Julai 2023.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Lorong bas tersebut akan bermula dari persimpangan Jalan Rhu sehingga ke persimpangan Jalan Tun Razak.

Dimana ia akan melibatkan 34 buah bas dari dua laluan, iaitu laluan 300 (Pandan Indah – Lebuh Ampang) dan laluan 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang).

Projek percubaan itu secara langsung diharapkan akan menjadi pemangkin bagi peralihan mod perjalanan, sekali gus membantu dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kritikal di Jalan Ampang.

Lorong bas itu akan beroperasi pada waktu puncak pagi, iaitu dari jam 6:00 pagi sehingga jam 9:00 pagi, Isnin hingga Jumaat.

Ia dijangka akan memberi manfaat kepada komuniti sekitar koridor Jalan Ampang yang ingin memasuki pusat bandaraya untuk bekerja.

Komuniti sekitar Ampang yang ingin menggunakan perkhidmatan bas boleh memanfaatkan kemudahan Park n Ride di LRT Ampang, dengan kadar bayaran meletak kereta hanya RM4.30 sahaja sehari.

Perkhidmatan bas laluan 300 dan 303 yang akan membawa penumpang ke pusat bandaraya boleh didapati di hentian bas bersebelahan dengan LRT Ampang tersebut.

Perjalanan para penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas laluan 300 dan 303 itu tidak hanya terhad untuk ke destinasi di hentian-hentian bas ini sahaja.

Para penumpang boleh meneruskan perjalanan lebih jauh dengan kesalinghubungan termasuk:

  • LRT Ampang Park/ LRT KLCC/ LRT Dang Wangi/ LRT Masjid Jamek: boleh meneruskan perjalanan ke Putra Heights atau Gombak dengan menaiki LRT Laluan Kelana Jaya
  • MRT Ampang Park: boleh meneruskan perjalanan ke Putrajaya atau Kwasa Damansara dengan menaiki MRT Laluan Putrajaya
  • Monorel Bukit Nanas: boleh meneruskan perjalanan ke Titiwangsa atau KL Sentral dengan menaiki Monorel KL;
  • LRT Masjid Jamek: boleh meneruskan perjalanan ke Putra Heights atau Sentul Timur dengan menaiki LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling
  • KLCC juga menawarkan kesalinghubungan dengan perkhidmatan bas GoKL yang boleh membawa penumpang ke sekitar pusat bandaraya

Para pengguna boleh memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store bagi merancang perjalanan, aplikasi Google Maps untuk mengetahui lokasi bas serta layari laman web rasmi Rapid KL untuk maklumat terkini.

 

Berita Berkenaan

Informasi
Berhubung isu pelancong dari luar negara yang tidak dapat menggunakan perkhidmatan bas Rapid KL…
Informasi
Ia juga dalam usaha mengurangkan kesesakan ruang letak kereta di pekarangan Parlimen. "…
Informasi
Justeru, pengguna boleh mendapatkan perkhidmatan ini dengan menunggu di bawah setiap stesen BRT…