Rekaan Dalaman Toyota HiLux 2026 Tertiris, Gaya Tacoma Dengan Sentuhan Retro

oleh Qalif Latif|
Walaupun pelancarannya hanya tinggal lebih kurang sebulan, rupa dalaman Toyota HiLux 2026 kini telah pun tertiris di media sosial dan ia mendedahkan perubahan besar yang akan membezakan generasi kesembilan ini daripada model sedia ada yang sudah berusia hampir sedekad.

Paparan Skrin Terapung & Warna Retro

Imej yang dikongsikan oleh akaun cars_secrets di Instagram menunjukkan papan pemuka baharu dengan reka bentuk “floating” untuk sistem infotainment, dianggarkan bersaiz sekitar 10 inci. Menariknya, kombinasi warna yang digunakan, merah marun digabungkan dengan kulit hitam berjahit kontras, memberikan aura retro ala era 1980-an, sesuatu yang jarang kita lihat pada trak pikap moden.

Hilux

 

Berbeza dengan model Toyota lain seperti Corolla Cross atau Fortuner, HiLux baharu ini masih mengekalkan butang pintasan fizikal di sisi skrin, sesuatu yang pasti dihargai oleh pengguna yang mahukan kawalan pantas tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada skrin sentuh.

Varian & Rekaan Papan Pemuka

Difahamkan skrin 10 inci ini mungkin khusus untuk varian pertengahan, manakala varian lebih tinggi dijangka menerima paparan infotainment yang lebih besar. Reka bentuk papan pemuka berbentuk baji ini turut dikatakan menggemakan rekaan bahagian hadapan HiLux baharu, dengan lampu utama yang lebih tirus dan logo “TOYOTA” dieja penuh menggantikan lambang bujur tiga elips, menonjolkan identiti off-road yang lebih agresif.

Secara keseluruhan, susun atur dalaman ini dilihat lebih hampir kepada Toyota Tacoma, trak pikap pasaran Amerika Utara, berbanding Land Cruiser, Prado atau Tundra.

Platform, Enjin dan Pelancaran

Berdasarkan dokumen yang bocor, HiLux generasi baharu ini akan ditawarkan dalam 16 varian berbeza di Australia, kesemuanya menggunakan enjin 2.8 liter turbo diesel empat silinder (kod 1GD-FTV) yang sama seperti model semasa.

Hilux

Walaupun menggunakan platform ladder-frame yang dikemaskini, beberapa komponen seperti struktur asas casis, pintu, dan panel bumbung dijangka dikekalkan. Ini menandakan HiLux 2026 bukanlah perubahan total tetapi lebih kepada evolusi besar dengan teknologi dan rekaan dalaman yang jauh lebih moden.

HiLux baharu ini dijangka membuat kemunculan rasminya dalam tempoh sebulan dari sekarang sebelum mula dijual pada tahun 2026.

Sumber: CarExpert


 

Berita Berkenaan

Berita Global
Keputusan ini mengesahkan bahawa model baharu tersebut bukan sahaja berupaya mengekalkan ketahanan…
Berita Domestik
Menurut beliau, suspek dibawa ke Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron…
Berita Global
Rekaan Lebih Agresif dan Modern Video tersebut memperlihatkan rekaan luaran yang jauh lebih…