Remaja antara ditahan dalam Op Samseng Jalanan

oleh Hamimah Hamid|
LAPAN lelaki termasuk remaja ditahan polis kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Pasir Puteh berhampiran Station 18, Ipoh hari ini.

Kesemua yang ditahan itu berusia 17 hingga 24 tahun disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 6 pagi itu dijalankan sepasukan 68 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak.

 

"Sepanjang enam jam operasi dijalankan, sebanyak 185 motosikal dan 258 individu telah diperiksa.

 

"Pada masa sama, 37 motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan. Sebanyak 391 saman trafik telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya," katanya. 

 

Menurut Yahaya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan oleh AADK mendapati tiga lelaki positif dadah jenis methamphetamine.

 

"Ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia 24 hingga 32 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998).

 

"Polis akan terus menjalankan operasi bersepadu dari semasa ke semasa bagi memperkasakan lagi tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap samseng jalanan di daerah ini," katanya.