Rempuh penunggang motosikal hingga mati, pemandu 'lalok' dipenjara 13 tahun, denda RM50,000

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Harian Metro
Lelaki yang didakwa memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, tahun lalu, dipenjara 13 tahun dan denda RM50,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di Muar pada Selasa.

Tertuduh, Tan Joo Meng, 46, bekerja kebun dan masih bujang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta jenis Nissan Sentra dalam keadaan merbahaya hingga merempuh mangsa, Norazam Omar di Jalan Bakariah/Jalan Haji Ismail, di sini, pada jam 10.20 malam, 4 Ogos 2022.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ketika itu dipercayai mengambil ganja dan memandu dalam keadaan melulu serta merbahaya.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu tertuduh gagal dikawal lalu merempuh Norazam yang ketika itu sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Abong, di Muar.

Rempuhan itu menyebabkan mangsa yang berusia 57 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ujian air kencing dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar mendapati tertuduh positif ganja.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki manakala tertuduh diwakili Nor Hafizah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Terdahulu, pihak pendakwaan mengemukakan hujahan agar mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum dengan mengambil kira kesalahan serius dilakukan tertuduh yang menyebabkan kematian orang lain.

"Pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal supaya menjadi pengajaran kepada mereka di luar sana," katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah memutuskan supaya tertuduh dipenjara 10 tahun dan denda RM50,000 serta mengarahkan tertuduh dikenakan penjara tambahan tiga tahun jika gagal membayarnya.

Mahkamah juga memutuskan hukuman bermula dari tarikh sabitan iaitu hari Selasa, 7 November 2023 manakala lesen memandunya digantung selama tujuh tahun.

Bagaimanapun, tertuduh tidak dapat membayar denda dan bermakna dia akan meringkuk dalam penjara selama 13 tahun.

 

Harian Metro