Renault 5 Prototype - jelmaan semula kereta bandar ikonik dengan trenkuasa elektrik!

oleh Mohamad Hanif|
Renault baru-baru ini memperlihatkan sebuah model prototaip yang dinamakan sebagai Renault 5 Prototype - jelmaan semula kereta bandar ikonik Renault 5 yang dihasilkan sejak tahun 1972 sehingga 1996.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Ia merupakan sebahagian daripada pelan strategik Renaulution di mana mereka akan membawakan sehingga tujuh buah model EV baharu menjelang tahun 2025.

 


Sekali imbas, tidak sukar untuk kita melihat elemen-elemen asal Renault 5 disatukan ke dalam model prototaip terkini ini, seperti contooh rekaan lampu hadapan yang tampil lebih futuristik, serta panel badan yang licin dengan rekaan berpetak.

Menurut Pengarah Rekaan Renault Gilles Vidal, beberapa elemen daripada kereta asal telah dibuat semula bagi memenuhi keperluan EV moden, seperti contoh offset kemasukan bonet kini melindungi slot pengecasan, sementara lampu belakang pula menampilkan sirip aerodinamik, dan lampu kabus hadapan yang mampu bertindak sebagai lampu nyalaan siang.

 


Selain daripada itu, logo depan dan belakang juga didatangkan ciri pencahayaan tersendiri, sementara papan pemuka pula menampilkan skrin paparan telus yang mampu memancarkan mesej kepada pejalan kaki.

Setakat ini tiada sebarang butiran berhubung trenkuasa elektrik seperti kuasa, daya kilas, atau jarak operasi, namun Renault tidak akan menghasilkan varian yang dikuasakan oleh enjin pembakaran dalaman.

 


Renault 5 Prototype akan dibangunkan menggunakan platform EV Nissan-Renault generasi kedua yang lebih kecil, dan terdapat ura-ura ia bakal menggantikan peranan Renault Zoe pada masa akan datang.