Renault Captur 2024 tampil bergaya! 1.0L turbo, manual, 1.6 liter hibrid

oleh Muhammad Md Tajudin|
Renault Captur 2024
Renault Captur 2024
Jenama Renault sudah lama bertapak di negara kita dengan pelbagai model ditawarkan.

Dari sedan, kenderaan pelbagai guna (MPV) sehingga model berprestasi Clio RS dan Megane RS.

Tidak dilupakan model elektrik ZOE yang merupakan di antara kenderaan elektrik terawal (EV) dijual kepada pelanggan awam di pasaran tempatan.

Legasi Renault di dalam negara diteruskan crossover Captur.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Renault Captur 2024

 

Di peringkat antarabangsa, Captur berada di dalam generasi kedua selepas diperkenal pada 2019. Captur juga dijenamakan sebagai Mitsubishi ASX untuk pasaran Eropah.

Terbaru Renault memperkenalkan Captur 2024 dengan rupa baharu tanpa lampu sepit ketam seperti sebelumnya.

Rekaan depan bergaya dan moden dan sekali (atau dua kali) pandang seperti model baharu. Rupa depan baharu juga menjarakkan Captur dengan ASX.

Lampu nyalaan siang (DRL) LED dibuat dalam bentuk separuh berlian yang dilhamkan dari logo Renault.

 

Renault Captur 2024


Liang udara di sebelah lampu DRL menyumbang kepada aerodinamik dan penyejukan brek depan. Lampu besar memainkan animasi turutan apabila kunci pintu dibuka dari jauh.

Bahagian sisi kekal seperti sebelum ini kecuali permainan warna riasan mengikut varian.

Saiz rim aloi bergantung kepada varian iaitu 17 inci (Evolution), 18 inci (Techno) dan19 inci (esprit Alpine). Pada bahagian belakang, Captur masih menyengat dengan lampu sepit ketam.

Terdapat enam warna ditawarkan dan pelanggan juga boleh memilih warna dua tona dengan cermin sisi dan bumbung Diamond Black.

 

Renault Captur 2024

 

Renault menawarkan pelbagai aksesori seperti lampu bawah badan, pemijak sisi, cangkuk tunda, rak basikal dan pelapik ambang pintu bercahaya.

Pada bahagian dalam, Renault mengekalkan papan pemuka sama kecuali skrin lebih besar berukuran 10.4 inci dan butang kawalan baharu. Skrin untuk pemandu sehingga 10.25 inci.

Pengecas tanpa wayar dijadikan ciri asas dan dua port USB-C ditempatkan di depan dan satu di dalam but. Captur Techno dan esprit Apline ditambah dua port USB-C di belakang.

Renault tidak menggunakan balutan kulit dan menggantikannya dengan fabrik kitar semula dan riasan krom dihadkan.

 

Renault Captur 2024

 

Satu ciri menarik pada Captur ialah pemandu atau penumpang disambut bunyian selamat datang dan Bunyi Kenderaan untuk Pejalan Kaki (VSP) bagi model hibrid.

Bunyian itu dibuat dengan kerjasama Jean-Michel Jarre, artis, komposer dan penulis terkenal Perancis. 

Fungsi MULTI-SENSE membolehkan pemandu memilih tema grafik meter dan lampu suasana. 

Lampu dalaman kereta juga dilaras secara automatik setiap 30 minit mengikut masa dan waktu siang atau malam. 

 

Renault Captur 2024

 

Dari segi keselesaan, ruang lutut penumpang belakang berukuran 221 milimeter (mm) yang disumbang kerusi belakang dengan fungsi gelangsar sehingga 16 sentimeter.

Bahagian kabin mempunyai ruang simpan sebanyak 24.7 liter termasuk tujuh liter di dalam kotak papan pemuka.

Ruang but mempunyai kapasiti 536 liter (VDA) selepas kerusi belakang dianjak ke depan atau pertambahan 114 liter.

Kerusi boleh dipisah secara 2/3 atau 1/3 dan apabila dibaringkan mewujudkan ruang dengan muatan 1.57 meter.

 

Renault Captur 2024

 

Captur menggunakan enjin pembakaran dalaman 1.0 liter dan 1.6 liter hibrid seperti berikut:

1.0 liter TCE 90

  • 3 silinder, turbo, 90 bhp, 160Nm
  • 6 kelajuan manual

1.6 E-Tech 145 hibrid

  • 4 silinder, 94 bhp, 205Nm
  • Kotak gear automatik 'dog clutch' pelbagai mod (4 gear untuk enjin, 2 gear untuk motor elektrik)
  • Dua motor elektrik (36 kW dan 19 kW High-Voltage Starter Generator/HSG)
  • Fungsi E-SAVE pada stereng bagi mengekalkan tahap kuasa bateri pada tahap minimum 40%

 

Renault Captur 2024

 

Untuk pemanduan lebih dinamik, para jurutera menukar geometri ampaian dan karakteristik penyerap hentak.

Penentukaran dibuat pada stereng dan Captur E-Tech dipasang penyerap hentak baharu.

Selain paparan grafik dan pencahayaan, sistem MULTI-SENSE turut merangkumi empat mod pemanduan iaitu ECO, SPORT, COMFORT dan MYSENSE.

Setiap mod mempunyai kadar stereng, tindak balas enjin dan kelincahan casis yang berbeza.

Renault Captur 2024

Dari segi keselamatan, Captur 2024 mempunyai 18 sistem bantuan pemanduan generasi baharu yang dibahagi kepada keselamatan, pemanduan dan peletakan kenderaan.

Di antaranya, Sistem Pembrekan Kecemasan Automatik (AEBS), Kawalan Suai Pandu (ACC) dengan Henti & Mula dan penderia parkir depan, sisi dan belakang.

Sistem Safety Coach menyediakan nasihat untuk pemanduan yang lebih bertanggungjawab. 

Renault Captur dipasang di Valladolid, Sepanyol dan ditawarkan pada suku ketiga 2024.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Renault Captur 2024