Renault Megane eVision merupakan kereta Renault pertama yang menggunakan pelantar modular CMF-EV, di mana ia juga turut digunakan oleh rakan sepakatannya menerusi model Nissan Ariya.
Dari segi dimensi, ia membawakan panjang 4,210 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,505 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,700 mm.
Ini menjadikan Renault Megane eVision bersaing secara terus dengan VW ID.3 yang sedikit besar dan memiliki jarak antara roda yang lebih panjang (2,765 mm).
Konsep hatchback berkuasa elektrik tersebut menggunakan pek bateri berprofil rendah 60 kWh yangg mampu menyokong pengecasan pantas sehingga 130 kW.
Sementara motor elektrik yang digunakan untuk memacu roda hadapan pula mampu menjana 217 kuasa kuda dan 300 Nm daya kilas, membenarkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa bawah lapan saat.
Menurut CEO Groupe Renault, Luca De Meo berkata, "Megane eVision membawakan ciri pek bateri paling nipis di dalam pasaran, dan dengan dimensi sepanjang 4.21 meter ia bakal menawarkan ruang kabin yang setaraf dengan kenderaan segmen C masa kini.
Tambah De Meo lagi, konsep yang dipamerkan ini adalah 95 peratus sedia untuk diproduksikan, dan menjadi kereta elektrik Renault yang menawarkan jarak operasi yang lebih jauh.
Versi akhir produksi Megane eVision akan dilancarkan menjelang akhir tahun hadapan di Eropah, dan dijangka membawakan variasi konfigurasi bateri dan output kuasa.