Renault Rafale 2024 - SUV Coupe segmen D, trenkuasa hibrid, 296 hp

oleh Mohamad Hanif|
SUV coupe biasanya popular di kalangan pengeluar automotif segmen mewah, seperti Mercedes-Benz GLC Coupe, BMW X4 dan Audi Q5 Sportback.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun, pengeluar arus perdana seperti Renault pernah muncul dengan model SUV sporti itu menerusi model Arkana.

Kini, mereka tampil dengan sebuah model serba baharu di dalam segmen D, iaitu Renault Rafale, di mana nama tersebut diinspirasikan daripada pesawat lumba tahun 1934.
 

rafale


Ia membawakan ukuran sepanjang 4.71 meter, lebar 1.86 meter, tinggi 1.61 meter dengan jarak antara roda sepanjang 2.74 meter.

Renault Rafale hanya akan ditawarkan dengan trenkuasa hibrid sahaja.

Varian aras mula dibekalkan dengan nadi tiga silinder 1.2 liter turbo (129 hp), motor elektrik, sistem pemula-penjana voltan tinggi, pek bateri lithium-ion 2 kWh dan transmisi automatik, di mana kuasa keseluruhan mencecah 197 hp dan 205 Nm.

Terdapat juga versi plug-in hybrid E-Tech 4x4 dengan hamburan kuasa sehingga 296 hp, tambahan motor elektrik pada gandar belakang, jarak gerak sifar emisi yang memadai, serta didatangkan dengan talaan casis khusus dan sistem stereng gandar belakang.
 

rafale


Biarpun menggunakan platform CMF-CD yang sama seperti Austral dan Espace, rekaan Rafale nampaknya lebih sporti dan unik tidak seperti mana-mana model Renault lain.

Ia merupakan kereta produksi Renault yang pertama membawakan bahasa rekaan baharu, di mana muka depan menampilkan lampu LED yang tajam, diikuti lampu nyalaan siang LED pada bucu bampar, rekaan jeriji aerodinamik.

Profil sisi Rafale membuktikan ia sebuah SUV coupe dengan garisan bumbung yang melandai ke belakang, di mana sudut kaca 17 darjah yang mengenepikan pemasangan penyeka kaca belakang, diikuti dengan padanan rim 20 inci.

Sementara bahagian belakang pula membawakan unit lampu utama LED berbentuk Y yang mengingatkan kita pada elemen rekaan Mitsubishi (rakan sepakatan, kan?), dan rekaan bampar yang menyembunyikan tip ekzos.
 

raflae


Susun atur papan pemuka Rafale banyak diambil terus daripada model Austral dan Espace, menampilkan skrin kluster 12.3 inci, skrin tengah menegak 12 inci, serta skrin paparan head-up 9.3 inci.

Selain daripada itu, terdapat juga sistem pencahayaan ambien automatik, bumbung kaca panoramik Solarbay yang boleh dilaras tahap ketelusan cahayanya, kelengkapan ADAS Level 2, serta kapasiti kargo sebesar 647 liter.

Versi Espirit Alpine diberikan tempat duduk sports balutan Alcantara dengan kemasan jahitan trio-warna, dan emblem Alpine bercahaya pada tempat penyandar.
 

rafale


Renault Rafale 2024 dijangka mula dijual di Eropah pada musim bunga tahun depan, dan dipasang di kilang Palencia, Sepanyol.