Renault Zoe 2020 - generasi kedua EV terlaris di Eropah dilancarkan

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Di pasaran Eropah, Renault Zoe merupakan antara model elektrik terlaris yang diproduksikan bermula tahun 2012 dan sudah sampai masanya ia digantikan dengan generasi baharu.

Dari segi luaran, Renault Zoe baharu menawarkan lebih penambahbaikan dan kemas kini terhadap reka bentuk asal, seperti penggunaan gril baharu, bumper dan unit lampu LED depan dan belakang. 
 


Manakala di bahagian dalaman pula rekaan papan pemuka serba baharu menyambut kehadiran pemandu dan penumpang, dan ciri moden lain turut dilengkapkan seperti skrin paparan 10 inci TFT yang menawarkan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. 

Selain daripada itu, terdapat dua slot pengecasan USB di bahagian belakang, manakala slot pengecasan nirwayar pula ditawarkan sebagai opsyen kepada para pembeli. 

Pemandu juga boleh mengakses beberapa fungsi kritikal pada kenderaan menerusi aplikasi peranti pintar seperti sistem pendingin hawa, status bateri dan juga merancang perjalanan bergantung kepada status kenderaan semasa. 
 


Bagi memberikan saingan kepada model-model elektrik yang lain seperti Peugeot e-208 dan Opel Vauxhall Corsa-e, Renault telah memasang pek bateri lithium ion berkapasiti 52 kWh bagi memberikan jarak operasi sejauh 389 km untuk pengecasan penuh. 

Pek bateri ini menyokong sistem pengecasan pantas DC 50 kW 30 minit untuk jarak operasi 145 km manakala pengecasan 1 jam di stesen pengecasan umum 22 kW pula mampu memberikan jarak 126 km. 

Untuk pengecasan di rumah menggunakan Wallbox 7 kW, anda perlu menunggu selama 9 jam 25 minit untuk mencapai kapasiti penuh. 
 


Kuasa dari pek bateri itu tadi digunakan bagi menggerakkan motor elektrik R135 berkuasa 135 PS dan 245 Nm, dan digandingkan dengan transmisi kelajuan tunggal. 

Pecutan dari 0-100 km/j mengambil masa kira-kira 10 saat dan mampu mencapai kelajuan tertinggi 140 km/j. 

Renault Zoe menawarkan dua mod pemanduan yang berbeza, iaitu B Mode dan D Mode yang boleh ditukar menggunakan e-shifter. 
 


Untuk kegunaan di dalam bandar, B Mode menawarkan pemanduan pedal tunggal di mana proses pecutan dan pemberhentian boleh dilakukan dengan hanya satu pedal sahaja, manakala D Mode pula merupakan mod pemanduan biasa yang lebih sesuai untuk luar bandar dan lebuhraya.

Sebagai sebuah kereta elektrik bandar, Renault Zoe turut dilengkapkan dengan ciri keselamatan terkini seperti Brek Kecemasan Aktif, Amaran Penukaran Laluan, Bantuan Pengekalan Laluan, Pengesan Papan Tanda, Sistem Pemantauan Titik Buta, Bantuan Parkir Mudah, Bantuan Berhenti Lereng Bukit Automatik, dan Bantuan Suluhan Tinggi Automatik. 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Zoe generasi pertama dilengkapi dengan bateri litium-ion 22 kWj LG Energy Solution, generasi…
Berita Global
Namun, hayat Zoe nampaknya tidak begitu bertahan lama apabila Renault dilapor membuat keputusan…
Model Terbaharu
Untuk rakyat Malaysia yang berminat, pendaftaran minat kini telah pun dibuka atau boleh berkunjung…